RANTAU PANJANG - Seorang lelaki ditemui lemas di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Derdap di sini pada Sabtu.
Mangsa yang tidak mempunyai identiti ditemui dalam keadaan terapung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 8.46 pagi ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, mayat mangsa ditemui jarak empat kilometer (km) dari tempat dia dikhuatiri hilang iaitu di pangkalan haram Parking.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 10 pagi untuk tindakan selanjutnya.
"Seramai 10 anggota telah terlibat dalam SAR itu," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas berhampiran pangkalan haram Parking di sini ketika berenang untuk 'merentas' Sungai Golok.
Kejadian jam 1.13 petang itu disedari oleh penduduk negara jiran yang melihat mangsa berenang di Sungai Golok.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dikhuatiri lemas cuba 'rentas' Sungai Golok