KUALA NERUS - Kerajaan dijangka berpotensi meraih kutipan levi keuntungan luar biasa sebanyak RM298 juta bagi suku pertama tahun ini berdasarkan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) kesan peningkatan permintaan terhadap komoditi itu.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah itu mampu dicapai hasil levi dikenakan bagi Harga Minyak Sawit Mentah (CPO) melebihi RM2,500 satu tan.
"Kita jangka kerajaan mampu meraih cukai keuntungan luar biasa RM298 juta bagi tempoh tiga bulan pertama 2021 disebabkan peningkatan harga sawit bagi tempoh tiga bulan pertama 2021 dan cukai keuntungan luar biasa dikutip apabila harga sawit melebihi RM2,500 untuk satu tan.
"Sekiranya momentum ini dapat dikekalkan, kita berpotensi meraih keuntungan lebih besar yang akan diterima dalam tempoh negara kekurangan hasil akibat dilanda Covid-19. Hasil cukai ini juga akan dipulangkan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan baju raya kepada 200 anak yatim dan fakir miskin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan percaya mampu mengekalkan harga sawit yang disasarkan pada kadar RM3,500 hingga RM3,800 bagi tempoh masa panjang.
"Menerusi promosi berterusan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) kita yakin harga tinggi ini mampu bertahan untuk tempoh masa panjang.
"Walaupun kita tidak jangka mampu capai sehingga sekitar RM4,000 bagi satu tan minyak sawit, sasaran diletakkan sebanyak RM3,500 hingga RM3,800 bagi kuantiti yang sama dan kita percaya kadar itu dapat dikekalkan," katanya.
Tambah Khairuddin, anggaran harga minyak sawit antara RM3,500 hingga RM3,800 ditetapkan sebagai harga purata minyak sawit mentah negara ketika ini.
"Harga minyak sawit tertinggi RM4,652 yang dicapai adalah harga lonjakan. Walaupun tidak bersifat jangka masa panjang, sehingga hari ini dilihat sangat positif kerana kuota untuk bulan Mac, April dan Mei juga semakin menaik, jika harga tinggi ini mampu bertahan sehingga hujung tahun itu rezeki kita.
"Selain itu, ini kali pertama juga harga buah tandan segar (BTS) lebih RM1,000 dan sebelum ini tidak pernah berlaku. Ia sekali gus menguntungkan 121,000 peneroka dan baki 300,000 pekebun kecil seluruh negara,"katanya.
Terdahulu, Khairuddin dalam kenyataannya berkata, harga minyak sawit mentah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM4,652 satu tan pada Khamis yang merupakan harga tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia.
Beliau berkata, prestasi itu merupakan kali ketujuh kenaikan harga tertinggi direkodkan dalam tahun 2021.