Bantah konfrontasi melampau rejim Zionis di al-Aqsa

Iklan
Rejim Zionis melemparkan bom tangan pegun ke arah penunjuk perasaan ketika pertempuran ganas tercetus di pekarangan al-Aqsa pada Jumaat. - Foto: AFP

BAITULMAQDIS - Satu demonstrasi sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Baitulmaqdis diadakan pada Sabtu, sehari selepas insiden pertempuran ganas tercetus di pekarangan masjid ketiga paling suci orang Islam, al-Aqsa.

Kumpulan protes yang berhimpun di Nazareth itu turut membawa plakad tertera 'pendudukan adalah satu keganasan'.

Iklan
Iklan

Ia diadakan selepas Jawatankuasa Tindak Lanjut untuk penduduk Arab yang meliputi 20 peratus golongan minoriti di Israel menggesa tunjuk perasaan mengecam rejim Zionis dilancarkan di bandar Arab lain dan Baitulmaqdis.

Sementara itu, Pengarah al-Aqsa, Omar al-Kiswani berkata, situasi tegang itu tercetus apabila rejim Zionis menceroboh masuk ketika penduduk Palestin sedang menunaikan solat dan menyerang para jemaah yang tidak bersenjata serta mengarahkan mereka mengosongkan masjid berkenaan.

Iklan

Penduduk Palestin yang berang kemudiannya melemparkan batu, botol dan mercun ke arah anggota keselamatan yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan peluru getah serta bom tangan pegun ke arah kumpulan terbabit.

Persatuan Palang Merah Palestin memaklumkan lebih 200 penduduk Palestin cedera dan ia terpaksa membuka hospital lapangan berikutan wad kecemasan tidak lagi dapat menampung pesakit.

Iklan

"Ada antara mereka kehilangan sebelah mata, mengalami kecederaan serius di kepala dan patah rahang,” ujar jurucakapnya.

Sementara itu, agensi berita Wafa melaporkan puluhan penunjuk perasaan turut ditahan.

Susulan insiden itu, beberapa negara Islam termasuk Iran, Turki, Qatar, Kuwait, Jordan dan Mesir menyelar tindakan kekerasan terhadap penduduk Palestin tersebut yang berlaku ketika Hari Quds Antarabangsa yang menentang kekejaman rejim Zionis dan disambut setiap tahun pada hari Jumaat terakhir Ramadan.

Jurucakap Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh menyatakan Teheran mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel di al-Aqsa.

"Jenayah perang ini sekali lagi membuktikan sifat kekejaman rejim Zionis dan betapa perlunya negara antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan pelanggaran prinsip paling asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Amman menyelar 'serangan kejam' tersebut yang disifatkan sebagai konfrontasi melampau oleh rejim Zionis.

Israel turut berdepan kecaman dua negara, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memeterai perjanjian damai untuk menormalkan hubungan dengan Tel Aviv pada tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan rejim Tel Aviv bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan ke atas kota suci terbabit dan menanggung akibat tindakan tersebut malah beliau juga menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan sesi tergempar bagi membincangkan krisis tersebut.

Abbas turut menzahirkan sokongan penuh beliau terhadap ‘hero’ Palestin yang berjuang di al-Aqsa.

Konflik yang semakin memuncak di al-Aqsa juga mendapat perhatian negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia yang menggesa pihak bertelagah supaya bertenang untuk meredakan konflik tersebut.

Sejak ketibaan Ramadan, ketegangan semakin meningkat di Haram al-Sharif (pekarangan al-Aqsa) setelah rejim Tel Aviv menyekat akses penduduk Palestin ke beberapa kawasan di kota lama terbabit. - AFP