Malaysia ketiga terbaik Piala Dunia Powerlifting Para

Iklan
Nicodemus menghadiahkan emas ketiga negara bagi acara lelaki lebih 88kg. Foto: Gosports.com

KONTINJEN Malaysia menamatkan penyertaan di Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2021 di tempat ketiga selepas atlet powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses memenangi pingat emas ketiga negara pada hari terakhir kejohanan yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Nicodemus, atlet berasal dari Kuching itu menjadi wira negara bagi acara lelaki lebih 88 kilogram (kg) selepas berjaya mengangkat 190kg bagi menyertai dua lagi rakan senegara Bonnie Bunyau Gustin dan Bibiana Ahmad yang menang emas dalam acara masing-masing.

Iklan
Iklan

Ton Yarnpairat dari Thailand yang merupakan satu-satunya pesaing bagi kategori tersebut, menang perak selepas mengangkat 120kg.

Jurulatih Powerlifting negara Jamil Adam berkata, kejayaan Nicodemus menaikkan rankingnya, namun disebabkan beliau tidak mengikuti laluan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sejak tiga tahun lepas, menjadikan peluang untuk beliau layak ke Tokyo itu hampir mustahil.

Iklan

"Kejohanan ini untuk uji persediaan dia dan beberapa atlet lain ke Sukan Para ASEAN 2021, di sana peluang mereka (menang) cerah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi atlet powerlifting negara, Mohd Shahmil Md Saad dan Wan Nur Azri Wan Azman menang gangsa masing-masing dalam acara lelaki lebih 97kg dan lelaki lebih 107kg, sekali gus melengkapkan pungutan pingat kontingen negara dengan tiga emas dan tiga gangsa.

Iklan

Kuasa utama powerlifting Iran, yang menang lima pingat emas dan satu perak berada di tempat pertama, manakala Thailand di tempat kedua dengan tiga emas, empat perak dan empat gangsa.

"Kejayaan kali ini agak manis bagi kita, sebab di mana-mana kejohanan termasuk Piala Dunia, kita belum dapat meraih pingat sebanyak ini, ini sesuatu yang amat membanggakan buat skuad powerlifting negara,” kata Jamil.

Semalam, Bonnie mengangkat 226kg untuk menang emas acara lebih 72kg, manakala Bibiana mengangkat 80kg untuk memberikan emas kedua negara bagi acara wanita lebih 67kg.

Seorang lagi atlet powerlifting Sona Agon mengangkat 90kg untuk pingat gangsa dalam acara wanita sehingga 73kg.

Sejumlah lapan negara mengambil bahagian dalam kejohanan itu termasuklah Indonesia, Turki, Iraq, Kazakhstan dan Georgia. - Bernama