JOHOR BAHRU - Sambutan lebaran kali ini pastinya lebih bermakna buat 100 asnaf di Kampung Melayu Majidee di sini apabila menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan sempena Aidilfitri.
Sumbangan itu hasil inisiatif Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares) dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee.
Penerima, Alwi Zainal, 89, berkata, sumbangan itu amat bermakna baginya memandangkan tidak mampu membuat persiapan sebaiknya atas faktor kesihatan.
"Saya hanya tinggal berdua dengan isteri, jadi persiapan ala kadar sahaja. Syukur Alhamdulillah ada pihak yang masih ingatkan kami dan memberi sumbangan bagi menyambut hari raya,” katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Majidee di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Penasihat ECJ Cares Johor, Ibrahim Harun berkata, setiap asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti makanan kering, minuman, seekor ayam, kuih raya dan beberapa barangan lain.
"Kita memperuntukkan sejumlah RM20,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti.
"Kita tahu keadaan sekarang sudah tidak sama dengan dahulu, apatah lagi pandemik Covid-19 ini banyak mengubah dan memberikan kesan kepada semua rakyat.
"Tambahan pula sambutan hari raya bakal menjelang. Kita harapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberikan senyuman kepada penerima, seterusnya meraikan hari raya dengan kegembiraan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee, Mohd Ali Mohd Salleh berkata, tahun ini merupakan tahun ketujuh program seumpama itu diadakan.
Menurutnya, senarai nama diperoleh daripada amil-amil Masjid Kampung Melayu Majidee, penduduk setempat serta jiran-jiran yang prihatin.
"Kami amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai sama ada daripada syarikat-syarikat, pertubuhan bukan kerajaan atau orang perseorangan bagi sama-sama membantu mereka yang memerlukan untuk menyambut hari raya,” katanya.