Usaha adaptasi perlu diteruskan

Iklan
Telefilem Capa Rengat Gulai Rawo arahan Wan Afzam Wan Daud adalah hasil adaptasi daripada dua buah cerpen karya Baharuddin Kahar.

KHALAYAK sastera dan penonton drama televisyen tanah air baru-baru ini, bagaikan teruja dengan sebuah kerjasama menarik antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan RTM, apabila menerbitkan sebuah telefilem, hasil adaptasi daripada dua buah cerpen Capa Rengat dan Gulai Rawo karya Baharuddin Kahar. Pengarah muda Wan Afzam Wan Daud diberi tugas untuk merealisasikannnya, dan menyifatkannya sebagai tugas yang mencabar, justeru itulah kali pertamanya dua buah cerpen, disatu dan dihidupkan dalam sebuah layar televisyen.

Menurut Robert Giddings (2001), adaptasi ialah suatu proses pemindahan atau penterjemahan teks sastera daripada suatu genre ke suatu genre yang lain. Pengadaptasi harus menyedari setiap genre mempunyai dirinya sendiri.

Iklan
Iklan

Cerpen berkembang atas penstrukturannya, dengan teknik dan strategi teksnya. Begitu juga drama TV yang mempunyai tiga dimensi itu, memiliki hukum dan peraturannya, kerana sifatnya sebuah medium popular. Pengadaptasi memerlukan penguasaan kedua-dua jalinan tekstual dan kontekstual, yang berbeza antara kedua-duanya.

Tiga kaedah sering diaplikasikan iaitu adaptasi penuh, separa dan dasaran. Adaptasi penuh menurunkannya secara selari, mengikut jejak-jejak perkembangan semua peristiwa dalam teks asal. Adaptasi separa, mengambil sebahagiannya sahaja, dengan menanggap pemikiran penting teks. Adaptasi dasaran hanya berdasarkan sesebuah teks, mengambil inti pati atau subjek utamanya, kemudian ditokoh tambah dengan olahan pengadaptasinya sendiri.

Iklan

Cerpen Capa Rengat dan Gulai Rawo kedua-duanya memiliki jalinan naratif peristiwa yang berbeza, tetapi temanya sama, mencitrakan nilai budaya hidup desa dan kota yang sedang dalam proses pembangunan. Justeru itu latarnya sama. Bahasa kolokialnya sama. Jalan fikir dan etos budayanya sama. Dalam situasi beginilah, Wan Afzam Wan Daud menggunakan kebijaksanaannya untuk menjalin dua buah teks itu, dalam sebuah gabungan bagi menjelmakan sifat kesatuan dan koherensinya.

Gabungan dua karya

Iklan

Lazimnya, adaptasi dilakukan kepada sebuah teks sahaja. Kegiatan ini hampir menjadi kebiasaan dan lumrah. Novel Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan Abdullah Husain, sudah kita tonton. Dan betapa banyaknya karya novel pop, dihijrahkan ke drama TV. Tetapi belum pernah ditemui beberapa buah karya digabungkan untuk sebuah penerbitan, seperti dua buah cerpen Baharuddin Kahar ini. Tentu sahaja ia bersifat eskperimen.

Pekerjaan adaptasi dimulai dengan menyusur segala rimba raya teks, bagi menanggap makna dan signifikasinya, diikuti dengan melakukan pilihan, aspek manakah yang hendak diangkat. Kerja utamanya ialah mengolah dan melakukan rekonstruktif atau menyusunnya semula, supaya kerja transformasi itu mendekati kesempurnaannya.

Menurut Patrice Pavis (2005) pengadaptasian tetap berhadapan dengan masalah yang timbul daripada teks asal, seperti menangani peristiwa dan narasi dalam teks. Dalam konteks ini, mungkin terdapat mesej, pemikiran dan falsafah kedua-dua cerpen itu yang simpang perenang, maka hendaklah dibentuk semula. Patrice Pavis mencadangkan kaedah ‘subjek pengarang plot pengadaptasi’; iaitu mengambil cerita teks tetapi plotnya dibina sendiri oleh pengadaptasi. Boleh sahaja diterbalikkan ‘plot pengarang subjek pengadaptasi’.

Setelah saya menonton drama televisyen itu, bolehlah diberikan ucapan tahniah kepada pengarah, penulis skrip dan pihak RTM dan DBP, justeru berjaya menghasilkan sebuah penerbitan yang menarik. Di tengah kehidupan pascamoden ini, kita dibawa ke kampung dengan nilai-nilai kesederhanaan, kecintaan terhadap kedamaian dan kehidupan yang bergantung kepada hasilan hutan dan sungai.

Ternyata pengadaptasi memilih kaedah paralel, justeru dua buah cerpen itu digerakkan secara sejajar. Saya berpandangan lebih cantik cerpen-cerpen itu digabungkan secara integral atau eklektikal atau secara hibrid (istilah pascakolonialisme), supaya memperlihatkan kesatuan dan koherensinya yang padat dan terarah sebagai sebuah karya. Konfliknya dapat dipertajam, mampu menegakkan klimaks, dan peleraiannya pun berupaya membersihkan katarsis khalayak.

Transformasi

Dalam perkembangan sastera pascamoden terkini, selain adaptasi terdapat beberapa metode transformasi lainnya seperti intertekstual, parodi, metafiksyen, dan metasejarah. Julia Krestiva (1941-kini) telah berjaya menggantikan istilah adaptasi kepada intertekstualiti, dalam sebuah teks dihuni oleh pelbagai teks. Sesebuah teks mengalami proses demitefikasi, pengguguran, eksistensi, penambahan, pengembangan dan paralel. Setelah menguasai teori intertekstualiti, saya cuba mempraktiskannya dengan memindahkan dua buah cerpen Fakurdabakia dan Hipokondriakal bagi melahirkan novel Kesesatan (1993).

Mekanisme intertekstuliti ini juga, menarik perhatian Suratman Markasan, apabila tiga buah cerpennya Rumah, Semua Orang Ada Hak dan Di Tengah Rakyat digabungkannya untuk menghasilkan sebuah novel Tiga Lelaki (1994). Ketiga-tiga watak Dr. Atmo, Asan dan Yang Berhormat daripada ketiga-tiga cerpen, berkongsi masalah, kemudian dipecahkan secara bersama.

Sebuah lagi metode ialah parodi ciptaan Tzveton Todorov (1939–2017), penghijrahan berdasarkan hanya kepada sebuah teks. Ia bersifat pembaikan terhadap teks asal dan berisi sindiran yang sinis, juga kadang-kadang melucukan.Marwilis Haji Yusof dalam Perlumbaan Kedua (1994) telah memparodi cerita kanak-kanak perlumbaan antara kura-kura dengan arnab, dengan melakukan demitefikasi, iaitu membalikkannya dengan memenangkan si arnab. Menariknya teks ini, berjaya dijelmakan oleh pengarangnya sebagai sebuah satira pergolakan politik semasa.

Sama ada mengaplikasikan pemindahan secara adaptasi, intertekstualiti, parodi, metafiksyen dan metasejarah, terpulanglah pilihannya kepada pengamalnya. Fajar adaptasi dua buah cerpen yang dimulai oleh DBP dan RTM itu perlu diteruskan, untuk mengangkat karya sastera yang bermutu tinggi, pindah ke layar televisyen.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia