Tak semeriah Ramadan dahulu

Iklan
Suasana di pondok An-Nahdhoh sebelum negara berdepan pandemik Covid-19.

PERMATANG PAUH - Suatu ketika dahulu kawasan pondok An-Nahdhoh Kampung Patani, Kubang Semang dipenuhi orang ramai setiap kali menjelang Ramadan.

Perkampungan dakwah ini menjadi tumpuan ramai kerana pelbagai program agama yang disusun sepanjang hari dan membolehkan jemaah merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda seperti yang dijanjikan ALLAH pada bulan mulia ini.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Yayasan An-Nahdhoh, Ustaz Abdul Mutalib Maarof berkata, suasana kian meriah ketika 10 malam terakhir Ramadan dengan program tadarus al-Quran, Qiamullail perdana, kelas tajwid, kuliah, majlis bersahur dan berbuka puasa bersama pelajar tahfiz.

Mengulas mengenai penubuhan pondok An-Nahdhoh pada tahun 1999 di Bukit Indera Muda, pusat dakwah ini sentiasa menjadi tumpuan ramai bukan sahaja pada setiap Ramadan malah setiap kali kuliah yang diadakan secara mingguan.

Iklan

Katanya pada hujung minggu kawasan itu sesak sehingga pernah menjangkau 4,000 orang.

"Alhamdulillah ramai memilih untuk menuntut ilmu dan melakukan ibadat di sini namun disebabkan kawasan yang sempit dan kemudahan terhad menyebabkan perkampungan ilmu di sini sesak sehingga mengganggu keselesaan penduduk setempat.

Iklan

"Disebabkan itu pada 2003, atas usaha gigih akhirnya kami mengambil keputusan berpindah ke sini (Kampung Patani) dan membangunkan sedikit demi sedikit pusat dakwah ini sehingga ke tahap sekarang,” katanya.

Mengimbau kembali nostalgia Ramadan, Ustaz Abdul Mutalib berkata, hotel yang gah terletak dalam kawasan pondok itu akan sentiasa penuh malah ada pengunjung dari luar Pulau Pinang menyewa selama sebulan bagi mengikuti semua aktiviti dan kuliah diadakan di sini.

Jelasnya lagi selama 23 tahun beliau mengendali pondok berkenaan, beliau antara orang yang paling sibuk sepanjang Ramadan bukan hanya disebabkan perlu mengendalikan kuliah dan kelas agama malah menjadi rutin hariannya bersama petugas lain memasak dan menyediakan makanan untuk sahur, berbuka dan moreh untuk penuntut di sini.

Tambahnya, boleh dikatakan sepanjang Ramadan beliau menghabiskan harinya di pondok dengan kerja dakwah dan jarang dapat bersama keluarganya.

"Semestinya banyak suka duka dan kenangan manis warga An-Nahdhoh selepas hampir 23 tahun kami bertapak di sini.

"Namun apa yang menyedihkan suasana itu tidak lagi dirasa, bacaan ayat-ayat suci al-Quran jugak tidak bergema sekuat dahulu semuanya berubah selepas negara kita dilanda ujian Covid-19,”katanya.

Ustaz Abdul Mutalib

Mengakui sedih dengan dugaan yang sedang dialami, Ustaz Abdul Mutalib sebak apabila memikirkan masa depan pondok An-Nahdhoh yang kian sunyi.

"Dalam keadaan getir ini, hotel dan agensi pelancongan yang yayasan usahakan juga terkesan teruk dan kami hanya bergantung kepada pendapatan melalui perkhidmatan kontraktor yang buat masa ini masih mampu bertahan.

"Sedih bukan hanya suasana di sini berubah dan sunyi tapi apa yang lebih saya risaukan sampai bila kami mampu bertahan? Saya pernah suarakan perkara ini kepada beberapa pimpinan dan ahli politik dengan memberitahu tidak mustahil pusat pengajian agama di sini akan ditutup tidak lama lagi.

"Dahulu ramai warga emas yang memilih untuk tinggal di sini bagi melakukan amal ibadat dan mendengar kuliah sepanjang Ramadan namun kini kelibat mereka tiada lagi.

"Disebabkan larangan rentas negeri dan bimbang dengan Covid-19 membuatkan ramai batalkan hasrat mereka untuk beribadah dan mengaji di sini. Jika dahulu semua pondok dan hotel penuh dengan ratusan penuntut tapi tahun ini cuma hanya ada 20 orang sahaja yang merdaftar,” katanya.

"Kalau ditanya apa yang dikenang sudah pasti saya amat rindukan suasana dan kemeriahan An-Nahdoh yang dulu.

"Bagi mengubat rasa rindu ini, bekas-bekas anak murid saya akan datang ke sini setiap hari bagi meramaikan jemaah dan kami tarawih bersama,”katanya.