KPDNHEP pergiat Ops Pantau kesan penutupan Pasar Borong KL

Iklan
Alexander Nanta Linggi
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempergiatkan pemantauan melalui Ops Pantau bagi meminimumkan kesan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP mengambil maklum tentang situasi pasar borong berkenaan yang akan ditutup ekoran wabak Covid-19 yang menjangkiti ramai peniaga dan pekerja di sana.

Menurutnya, bahagian penguat kuasa akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menilai situasi mungkin boleh menjejaskan bekalan barang-barang perlu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan-persatuan peniaga yang terlibat dalam isu ini.

"Walaupun insiden ini bukan kali pertama berlaku, namun situasi ini perlu ditangani dengan baik supaya ia tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nanta berkata, pegawai penguat kuasa akan terus melaksanakan tugasan demi memastikan isu bekalan dan harga dapat ditangani sebaiknya.

Malah katanya, KPDNHEP konsisten menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan semua pihak mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

"Kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama menaikkan harga yang tidak munasabah.

"Pengguna boleh terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP serta menyalurkan maklumat berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui saluran portal e-aduan KPDNHEP," katanya.

Pengguna juga boleh menghubungi 1-800-886-800 atau e-mel aduan ke e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP serta membuat aduan ke Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245 dan menerusi aplikasi WhatsApp 019-2794317.