SHAH ALAM – Keputusan kerajaan menutup premis perniagaan yang tersenarai dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) disifatkan sebagai langkah terburu-buru serta bakal 'membunuh' peniaga dalam usaha memulihkan ekonomi.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata, lebih memburukkan keputusan itu dibuat ketika ambang Hari Raya Aidilfitri yang merupakan peluang terbaik peniaga untuk memulihkan ekonomi perniagaan dan bangkit daripada krisis ekonomi.
"Pengumuman penutupan premis perniagaan yang terburu-buru ini akan merencatkan usaha peniaga memulihkan ekonomi mereka apatah lagi di ambang Aidilfitri yang sepatutnya menjadi peluang terbaik peniaga meraih lebih pendapatan serta menutup kerugian yang dialami sepanjang pandemik Covid-19.
"Saya juga ingin mempersoalkan kriteria kesemua premis atau lokasi yang disenaraikan dalam sistem amaran awal HIDE ini yang bukanlah kluster penyebaran Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada masa sama, beliau mendakwa, keputusan 'flip-flop' kerajaan menjadi punca kegagalan membendung wabak ini ekoran penutupan beberapa sektor yang dilihat 'tidak seimbang' sebelum ini.
"Ia menyebabkan wujudnya beberapa kluster besar seperti kluster perkilangan sedangkan beberapa sektor yang kurang berisiko ditutup.
"Hasilnya kita lihat hari ini ekonomi masih belum pulih, namun kes positif harian naik semula sehingga lebih 4,000 kes sehari,” katanya.
Justeru beliau menggesa kerajaan untuk membuka Parlimen agar sebarang keputusan yang dibuat dapat melalui perbincangan bersama pihak pembangkang demi kebaikan rakyat dan negara.