PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp yakin pasukannya masih berpeluang untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok empat pasukan terbaik selepas menewaskan Southampton 2-0 dalam aksi di Anfield pada awal pagi Ahad.
Menurutnya, The Reds perlu meneruskan momentum kemenangan untuk memastikan pasukan berjaya meraih mata penuh dalam baki perlawanan EPL.
"Kemenangan ini membuka kembali peluang kami untuk berada dalam kelompok empat terbaik. Situasi kami berubah tetapi hanya untuk kami kerana pasukan lain masih berada pada posisi terbaik mereka. Kami sedar perkara tersebut.
"Apa yang boleh kami lakukan adalah menang setiap perlawanan tetapi kami tahu ia sukar kerana perlu menentang Manchester United minggu depan. Kami akan cuba yang terbaik," katanya.
Dalam perlawanan itu, Sadio Mane membuka tirai jaringan buat Liverpool pada minit ke-31 sebelum Thiago Alcantara melengkapkan kemenangan The Reds dengan gol pada penghujung perlawanan.
Dalam pada itu, Klopp mengakui gembira dengan prestasi para pemainnya terutama Alcantara yang berjaya meledak gol pertama peribadinya buat Liverpool.
"Thiago menunjukkan bahawa dia sangat bagus dan mampu menjadi tonggak penting buat pasukan. Dia banyak membantu pasukan dengan hantaran terbaiknya dan berjaya menjaringkan gol.
"Kami berdepan dengan Southampton yang kita tahu sebuah pasukan yang kuat. Saya sudah lupa bila kami bermain menentang mereka dan menang dengan jumlah jaringan yang besar.
"Namun, saya gembira dengan persembahan semua pemain. Kami agak goyah kerana hanya menjaringkan satu gol dengan tempoh perlawanan yang masih panjang, tetapi apabila mendapat gol kedua kami sangat lega," katanya.