ALOR SETAR - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Merbok apabila bot dinaikinya dipanah petir pagi Sabtu ditemukan lemas pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat Mohd Nasir Md Rodzuki, 33, ditemui oleh nelayan tempatan yang melakukan kerja memasang pukat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah ke lokasi untuk membawa naik mayat nelayan terbabit sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mayat mangsa yang disahkan oleh keluarganya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Muhamad Syukri Hashim berkata, mayat mangsa ditemui nelayan tempatan di permukaan air kira-kira jam 12 tengah malam.
Pada Sabtu, Mohd Nasir dan rakannya, Sobri Hussain, 35, dikatakan keluar menaiki sebuah bot bersama seorang rakan lebih kurang jam 12 tengah malam dari Jeti Pengkalan Bakar Arang di sini untuk menangkap ikan.
Bagaimanapun, bahagian hadapan bot mereka dipanah petir secara tiba-tiba hingga menyebabkan Mohd Nasir pengsan dan terjatuh dari bot berkenaan.