'Saya tetap tunggu di sini selagi dia tak ditemui'

Iklan
Operasi pencarian kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikuatiri lemas selepas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2 di sini pada Sabtu giat dilakukan anggota Bomba pada jam 7.40 pagi Ahad. (Gambar kecil: Nor Ain

SEREMBAN - Meskipun masih tidak menemui sebarang petunjuk, namun kerana kasihnya seorang ibu, Nor Ain Ismail, 27, masih setia menunggu di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak lelakinya yang dikuatiri lemas sejak petang Sabtu.

Wanita itu yang ditemui Sinar Harian berkata, dia tidak mampu untuk pulang ke rumah selagi anak ketiganya, Mohamad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, tidak dijumpai.

Iklan
Iklan

Selepas diberitahu mengenai kejadian itu, Nor Ain bergegas ke lokasi dan hanya pulang ke rumah pada jam 4.30 pagi Ahad untuk mandi dan menukar pakaian sebelum datang semula ke lokasi sejam selepas itu.

"Malam tadi saya tidur dalam kereta ditemani oleh ahli keluarga lain.

Iklan

"Hati saya tak tenang selagi anak saya tidak dijumpai dan saya akan tetap tunggu di sini selagi dia tak ditemui," katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan ungkapan selamat tinggal menjadi ayat terakhir yang sempat diucapkan oleh Mohamad Syafiq Mustaqim sebelum dia dihanyutkan arus deras selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran Flat Cempaka di Seremban 2 di sini.

Iklan

Ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa sedang bermain dengan abangnya yang berusia sembilan tahun dan seorang kawan berusia 12 tahun.

Nor Ain berkata, anaknya tidak pernah bermain di kawasan itu dan hanya bermain di kawasan rumah sebelulm ini.

"Tapi entah macam mana dia nak pergi bermain kat situ hari ini. Abangnya dah larang, tapi dia tak dengar sebab itulah abangnya terpaksa ikut sama.

"Tapi katanya masa adik nak basuh kaki dia tergelincir dan paling sedih dia sempat cakap selamat tinggal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Selamat tinggal' ayat terakhir sebelum dihanyutkan arus deras

Operasi SAR budak jatuh longkang diperluas

Kanak-kanak dikhuatiri lemas terjatuh dalam longkang