ALOR SETAR - Bilangan kes Covid-19 di Kedah dibimbangi mampu mencapai 20,000 menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sekiranya tiada pendekatan strategik untuk membendung pertambahan kes positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf berkata, pertambahan kes di negeri ini dirasakan sangat ketara sejak pertengahan Mei 2020 dari 100 kes direkodkan kepada 10,000 ketika ini.
Menurutnya, penularan Covid-19 bermula dengan gelombang kecil kepada besar, sebelum kembali kecil dan besar semula hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sebagainya.
"Setakat 7 Mei 2021, bilangan 10,839 kes direkodkan sejak tahun lepas berbanding nisbah kepada 2.2 juta penduduk Kedah agak merisaukan, lebih-lebih lagi dengan kadar penularan di negeri ini yang lebih tinggi dari kadar nasional.
"Saya lihat bentuk penularan semakin pelbagai dengan virus menular dari sudut berbeza dan kluster baharu muncul hampir setiap minggu," katanya pada Program Tekad Madrasah dan Ramadan Suka Menanti di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, Zamri berkata, beliau tertanya-tanya berhubung pendekatan strategik yang diperkenalkan untuk menghindari risiko Covid-19 dan pembaharuan tindakan yang diambil untuk menangani pelbagai bentuk penularan itu.
Beliau berkata, tidak mustahil jika kes positif di Kedah boleh mencapai 20,000 menjelang Hari Kebangsaan seandainya tiada kaedah untuk tangani rentak pertambahan seperti gelombang ketika ini dan mendatang.
Katanya, masyarakat ingin melihat pendekatan yang efektif untuk mengekang penularan tanpa menekan sektor ekonomi umum selain perlaksanaan PKP, denda makin tinggi dan menyekat aktiviti yang memberi kesan ekonomi.
"Kadar imunisasi vaksin kepada warga Kedah juga perlu ditingkatkan dan disegerakan, yang mana kini kira-kira 98 peratus masih menanti giliran peluang untuk mendapat vaksin sekurang-kurangnya satu dos," katanya.
Dalam perkembangan sama, Zamri berkata, warga Kedah dinasihatkan untuk jaga diri sendiri dan keluarga dengan mengamalkan pendekatan ABCD iaitu amalkan jarak fizikal satu meter, bawa dan pakai pelitup muka di khalayak umum, cuci tangan sebelum sentuh muka dan duduk rumah kecuali ada urusan.