KOTA BHARU - Kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer di atas Jambatan Sultan Yahya Petra dari arah Pasir Pekan, Tumpat menghala ke Kota Bharu pada Ahad difahamkan berpunca daripada penutupan laluan bertingkat di atas jambatan selain sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk ke Kota Bharu.
Lebih teruk, penutupan Jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong, Pasir Mas sejak Sabtu dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 turut mempengaruhi jumlah pertambahan kenderaan masuk ke bandar ini.
Situasi itu turut dikongsi pengguna media sosial termasuk Facebook dan WhatApp dan tular sejak pagi Ahad.
Rata-rata warganet berkongsi rasa kurang senang dengan situasi kesesakan dan mahu mahu polis membuka semula Jambatan Sultan Ismail Petra bagi mengatasi masalah tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya terpaksa memperketatkan kawalan dan pemeriksaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis ini.
"Pemeriksaan ketat itu selari dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di Kelantan ketika ini.
"Jadi saya harap orang ramai terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya.
Pengguna laluan itu Mohd Zul Ismail, 42, tidak kisah jika kawalan terus diperketatkan kerana ramai yang sedang berdepan pandemik Covid-19 yang semakin serius.
"Lagipun saya mempunyai surat kebenaran untuk merentas daerah dan bekerja di Kota Bharu tetap saya terkejut melihat situasi tersebut yang disifatkan cukup luar biasa pada Ahad," katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya yang ingin dikenali sebagai Siti Rohani Abdullah, 39, berharap orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk ke Kota Bharu bagi tujuan membeli-belah menjelang sambutan Aidilfitri pada Khamis.
Katanya, tindakan itu kurang wajar memandangkan kebanyakan mereka yang masuk ke Kota Bharu untuk tujuan bekerja dan kecemasan sahaja.
"Insya-ALLAH jika Covid-19 kembali reda, kita semua akan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri lebih meriah selepas ini," katanya.