Gastak keluar PSM

Iklan
Zuraidin

GABUNGAN Sepak Takraw Kelantan (Gastak) mengumumkan menarik diri daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berikutan penggantungan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail oleh Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Presiden Gastak, Zuraidin Abdullah berkata, keputusan itu berkuat kuasa serta-merta susulan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat minggu lepas.

Iklan
Iklan

"Gastak telah membincangkan tindakan dan keputusan ASTAF secara terperinci, dan berpandangan kemelut di antara kedua-dua badan induk iaitu PSM dan ASTAF akan menjejaskan pembangunan sukan sepak takraw, merencatkan kerjasama serta peluang di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media di Kota Bharu pada Ahad.

Terdahulu, Ahmad digantung selama 15 tahun mulai 6 Mei oleh Jawatankuasa Tatatertib ASTAF.

Iklan

Mengulas lanjut, Zuraidin berkata, Gastak berpendirian bahawa sudah tiba masa seluruh pentadbir sepak takraw di peringkat nasional dan negeri mengambil tanggungjawab menetapkan hala tuju lebih jelas demi kelangsungan masa depan sukan itu.

"Gastak sebelum ini mempunyai pendirian tidak berbelah bagi memberikan kerjasama dan sokongan terhadap pelbagai program dilakukan PSM untuk pembangunan sukan ini di Malaysia.

Iklan

"Kami akan mengambil langkah-langkah susulan dan menentukan tindakan untuk mengembalikan maruah serta pembangunan sukan sepak takraw di segenap peringkat," katanya. - Bernama