TEMERLOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempercepatkan sebarang bentuk bantuan untuk keluarga Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, setiap anggota polis digalakkan mengambil insurans berkelompok koperasi polis.
Menurutnya, pada masa sama Allahyarham Norhalim juga akan menerima ganjaran-ganjaran sebagaimana layaknya selaku penjawat awam mengikut skala dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Insya-ALLAH perkara tersebut sedang dilaksanakan dan saya juga telah meminta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail agar segala urusan pewaris dijalankan secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman keluarga Norhalim di Felda Bukit Damar, Lanchang pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, pihak PDRM turut sedih dengan insiden tersebut yang menyebabkan sebuah keluarga kehilangan anak dan suami.
Katanya, insiden yang menimpa Norhalim masih dalam siasatan dan memberitahu prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut juga telah lengkap kerana senjata api adalah sebahagian kelengkapan anggota dan penggunaannya mengikut garis panduan yang teliti dan cermat.
"Saya percaya mengikut maklumat awal diterima, rakannya bermain-main dengan senjata tersebut dan ia adalah pantang larang utama iaitu ia tidak boleh dikeluarkan, ditunjukkan, diacu-acukan tanpa sebarang sebab munasabah.
"Ia perlu berada dalam dua keadaan iaitu tersimpan dalam stor senjata atau semasa dibawa keluar, perlu disimpan dalam sarung sepanjang masa jika tiada keperluan menggunakannya," jelasnya.
Mengulas cadangan penggunaan senjata renjatan, beliau memberitahu ia dalam proses memperolehnya dan didaftarkan dalam jadual perolehan PDRM.
Sementara itu, Aidi memberitahu Allahyarham Norhalim memiliki tiga polisi insurans dengan koperasi polis bernilai RM99,000.
"Kita akan mempercepatkan dengan pihak koperasi untuk pemberian pampasan insurans tersebut," ujarnya yang turut menzahirkan kesedihan yang dihadapi keluarga tersebut berikutan kehilangan anggota polis itu dalam insiden terbabit.