42 sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang

Iklan
Sahabudin (dua dari kanan) pada sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada Ahad.

GEORGETOWN - Bermula tepat jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 42 sekatan jalan raya (SJR) akan didirikan oleh polis di seluruh Pulau Pinang berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, seramai 712 anggota polis akan ditugaskan di kesemua SJR dan dibantu oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini hanya 15 SJR didirikan, namun untuk PKP kali ini pihaknya akan membuat pemantauan dan kajian sama ada untuk menambah SJR di tempat lain bagi mengawal pergerakan orang ramai.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP kali ini, keseluruhan 3,500 pegawai dan anggota polis di kontinjen ini telah dibekukan cuti dan kesemuanya akan bertugas secara berkala dalam Ops Covid.

Iklan

"Untuk SJR sahaja seramai 712 pegawai dan anggota akan bertugas dan mereka akan dibantu oleh anggota dari ATM dan Rela," katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud.

Iklan

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata, berkuatkuasa malam tadi tiada pergerakan rentas daerah dan negeri akan dibenarkan di kawasan yang terlibat dengan PKP melainkan atas sebab kecemasan, perubatan dan pendidikan atau pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dan mempunyai surat kebenaran daripada polis.

Selain itu Sahabudin berkata, polis telah mengenalpasti lima laluan tikus di negeri ini dan akan meningkatkan pemantauan dengan menempatkan SJR secara bergerak dari masa ke masa.

"Kita akan lebih teliti bagi memastikan tiada cubaan merentas negeri dan daerah dilakukan terutamanya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sebanyak 107 pasukan task force akan digerakkan untuk membuat pemantauan pematuhan SOP yang melibatkan 705 orang pegawai dan anggota," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua pusat kawalan di lima daerah di negeri ini akan beroperasi selama 24 jam selain terdapat anggota yang bertugas di pusat pemberian dan simpanan vaksin, pusat kuarantin dan beberapa lokasi tumpuan.

Tambahnya, pihaknya juga akan menggerakkan perkhidmatan logistik seperti penugasan kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta pasukan penyamaran.