Katil klinikal di PKRC Gelanggang Seni ditambah

Iklan
Dr Mohd Azman (tengah) memantau persiapan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ke-8 di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Jumlah 30 katil klinikal di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kelapan di Gelanggang Seni di sini dijangka bertambah berikutan situasi semasa pandemik di Kelantan yang masih berada pada tahap membimbangkan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, penambahan mungkin perlu terutama bagi pesakit Covid-19 kategori warga emas berikutan katil sedia ada di hospital awam sudah penuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PKRC tersebut bakal beroperasi pada Selasa dengan kelengkapan 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat yang keseluruhan mampu menampung kapasiti 130 pesakit pada satu-satu masa.

"Ini satu-satunya PKRC yang menempatkan katil klinikal dilengkapi ciri-ciri khas termasuk bekalan oksigen mudah alih untuk rawatan segera terhadap pesakit Covid-19 tahap tiga dan boleh dihubungkan dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Iklan

"PKRC biasanya menempatkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua tetapi berdasarkan pengalaman, ada pesakit dalam kalangan warga emas yang tiba-tiba teruk hingga memerlukan bantuan oksigen,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PKRC kelapan di Gelanggang Seni di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sekurang-kurang tiga pegawai perubatan berpengalaman akan ditempatkan di PKRC itu bagi menguruskan pesakit yang memerlukan oksigen daripada lapan yang disediakan.

Iklan

"Seorang doktor iaitu Pegawai Perubatan Mobilisasi dari Terengganu akan bertugas untuk menambah baik kecekapan PKRC,” katanya.

Tambah beliau, katil bujang di tiga PKRC di Dewan Jubli Perak, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa dan Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Panji ditukar kepada katil dua tingkat bagi menampung pertambahan pesakit.