ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, perlombongan bauksit adalah kontroversi kerana amalan terdahulu kurang teratur dan tidak lestari.
Menurutnya, pemulihan tapak perlombongan tidak wujud sehingga ada kanak-kanak meninggal dunia di lokasi bekas perlombongan kerana kekurangan kerja pemulihan.
"Orang ramai tidak pernah melupakan pengalaman masa lalu yang berdebu dan kemerahan di Kuantan sehingga dipersendakan seperti planet Marikh.
"Perlombongan haram berleluasa; Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tidak diperlukan. Pencemaran di sungai, perairan pantai, jalan raya dan rumah kediaman juga menyebabkan kemusnahan kualiti hidup dan alam sekitar yang sukar untuk pulih sehingga ke hari ini.
Justeru beliau menggesa kerajaan untuk berunding dahulu dengan orang ramai sebelum menamatkan moratorium bauksit di Pahang.
Menurutnya, kerajaan perlu memberikan lebih banyak bukti untuk memulihkan keyakinan rakyat sekitar kawasan itu.
"Langkah yang tepat untuk kerajaan adalah membincangkan pelan pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan orang-orang berkaitan dan pihak berkepentingan,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan.Berikutan itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan SOP baru serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.