TFC atasi Selangor 2-1, lonjak ke tempat kedua

Iklan
TFC melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor FC - Foto FB Terengganu FC

PASUKAN Terengganu FC (TFC) melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang import Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-49, selepas bola sepakan kapten pasukan, Brendan Gan terkena tangan Mohd Nasir Basharuddin di dalam kotak penalti.

Iklan
Iklan

Namun, skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Engku Muhd Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-72, sebelum tandukan pemain import dari Sepanyol, Carlos de Murga pada minit ke-87 mengesahkan tiga mata penuh buat TFC.

Sementara itu, Sri Pahang FC berjaya mengejutkan Perak FC, yang dilaporkan bergolak dengan masalah tunggakan gaji, menerusi kemenangan 3-2 di Stadium Perak, Ipoh.

Iklan

Skuad Tok Gajah membuka jaringan menerusi rembatan kencang penyerang kebangsaan Myanmar, Aung Kaung Mann pada minit ke-34 selepas berlaku situasi kelam-kabut di hadapan gawang gol tuan rumah, sebelum mengandakan jaringan menerusi pemain import dari Australia, Kenjok Wal Athiu pada minit ke-57.

Perak FC bangkit menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi pemain import dari Brazil Leandro Dos Santos, yang mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas rakan sepasukan, Mohd Shakir Hamzah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Sri Pahang FC, Mohd Faisal Mohd Rosli.

Iklan

Kenjok terus menambah derita buat skuad Bos Gaurus apabila tandukannya pada minit ke-88 berjaya menewaskan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, manakala jaringan pemain import dari Brazil, Raianderson pada minit ke-90 sekali lagi membantu Perak FC mengurangkan defisit.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United FC sekadar terikat tanpa jaringan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC. Keputusan hari ini menyaksikan TFC pintas Kedah Darul Aman (KDA) FC (26 mata) di tangga kedua dengan 27 mata selepas 13 perlawanan dan hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selangor (19 mata) dan PJ City (14 mata) masing-masing kekal di tempat kelima dan kelapan, manakala Sri Pahang FC (12 mata) keluar dari zon penyingkiran dengan mengatasi Perak FC (12 mata) ke tempat kesembilan, dan Melaka United (11) di kedudukan kedua tercorot carta.

Saingan Liga Malaysia akan berehat selepas ini, di mana Liga Premier dijadualkan bersambung semula pada 18 Jun selepas Hari Raya Aidilfitri dan memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Liga Super pula hanya akan bermula pada 9 Julai, selepas aksi peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) melibatkan JDT, dan saingan peringkat kumpulan Piala AFC melibatkan TFC serta KDA FC. - Bernama