Ibu benteng pertahanan integriti

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SEMPENA Hari Ibu tahun ini, wajar sekiranya perhatian ditumpukan kepada aspek kepentingan peranan ibu dalam menyemai nilai integriti dan amanah dalam jiwa anak-anak.

Dengan berlatarbelakangkan suasana semasa masyarakat dan negara yang semakin meruncing dengan peningkatan kadar pecah amanah, kecurangan dan pencabulan kuasa, Hari Ibu kali ini tidak harus disambut secara cliche seperti kebiasaannya.

Iklan
Iklan

Malahan inilah masa terbaik untuk menyingkap semula dan membuat muhasabah diri, untuk mengukur sejauh mana kejayaan atau pun kegagalan kita sebagai ibu dan bapa dalam menyemai benih nilai pekerti yang baik kepada generasi pewaris kita.

Integriti sangat penting dalam kehidupan individu dan organisasi untuk melambangkan serta mencerminkan keteguhan dan keutuhan nilai murni yang dihayati.

Iklan

Integriti menentukan sama ada seseorang itu boleh dipercayai dan jujur serta berupaya memikul tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Dari segi perbuatan, seorang yang berintegriti akan tetap melakukan sesuatu yang benar dan betul, sekali pun tiada sesiapa yang memerhatikan. Individu berintegriti akan mudah mengakui kesilapan dan kekurangannya, serta gigih memperbaiki kelemahannya.

Iklan

Didikan keluarga menjadi asas utama untuk menyemai integriti dan sifat amanah dari usia kecil lagi. Keutamaan yang diberikan oleh ibu bapa yang sentiasa menekankan tentang kejujuran, ketelusan dan bijaksana membuat keputusan akan meninggalkan kesan mendalam pada diri anak-anak.

Bila anak menunjukkan sifat integriti yang tinggi, ibu bapa harus memuji, menghargai pelakuan itu dengan selayaknya. Dalam masa sama, sebarang penipuan, pecah amanah dan ketidaktelusan mestilah diperbetulkan dengan disiplin yang tegas dan berhikmah.

Peranan ibu amatlah penting dalam mendidik kualiti integriti ke dalam diri anak-anak. Malah ibu boleh dikatakan sebagai kubu yang mempertahankan serta menjadi standard terunggul bagi mengukur integriti.

Sebagai seorang wanita yang setia, ibu mestilah memastikan kehormatan dan maruah diri sentiasa terpelihara khususnya dalam aspek hubungan kelamin.

Kesetiaannya kepada akujanji yang dimeterai semasa ijab kabul amat penting untuk memastikan semua anak yang lahir boleh dinasabkan kepada suaminya seorang sahaja. Di situlah bermulanya didikan integriti yang mesti dipertahankan seorang bergelar ibu.

Seterusnya, ibu mesti menjalankan tanggungjawab biologi untuk mengandung, melahirkan dan menyusukan zuriat keturunannya.

Sekali lagi, keutuhan integriti ibu akan menentukan sejauh mana beliau dapat melaksanakan tugas berat yang dipikulkan di atas bahunya. Rasa tanggungjawab yang tinggi menjadi penyebab utama untuk ibu mengorbankan segala yang dimilikinya untuk kebajikan anak-anaknya.

Namun, jika ibu tidak lagi menitikberatkan aspek integriti dalam kehidupan sehariannya, terungkailah proses memupuk kualiti unggul ini ke dalam jiwa anak-anak.

Jika pemupukan integriti tidak dijadikan agenda utama oleh ibu dalam mendidik, tentu sekali anak-anak akan membesar tanpa contoh teladan dan motivasi untuk hidup mulia dengan kejujuran, amanah, ketelusan dan kesungguhan.

Anak-anak ini pula akan membesar tanpa kompas moral yang jelas dan akan mudah menjadi mangsa ketamakan dan kegelojohan zaman materialistik hari ini.

Maka robohlah benteng pertahanan dalaman generasi pelapis, yang menyebabkan meningkatkannya rasuah, pecah amanah, penipuan, kecurangan dan pengkhianatan yang akan membawa kepada keruntuhan kemajuan masyarakat dan negara.

Sempena Hari Ibu, para ibu diseru memperbaharui ikrar dan menanamkan tekad untuk berusaha lebih gigih lagi dalam membangunkan daya tahan dan keupayaan integriti generasi pelapis.

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengasas dan Pengarah Akademi