Sambutan Aidilfitri ketika pandemik

Iklan
Gambar hiasan.

TIGA hari lagi umat Islam di seluruh negara bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan kita berpuasa.

Penulis yakin ramai yang sudah membuat persiapan menyambut hari raya walaupun kita masih diselubungi suasana pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Namun bukan semua insan bernasib baik. Ada juga sesetengah keluarga yang tidak dapat membuat persiapan raya berikutan kekangan yang dialami.

Ini ditambah dengan keadaan kewangan keluarga yang turun naik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi pekerja swasta dan bekerja sendiri termasuklah mereka yang terpaksa jadi ‘penganggur’.

Iklan

Situasi sukar untuk berbelanja bukan kisah dongeng kerana ada yang terpaksa berhutang dan meminta belas ihsan orang bagi mendapatkan secupak beras buat anak-anak. Apatah lagi hendak belikan baju raya seorang sepasang, sudah tentulah jauh sekali.

Namun, bagi yang sudah membuat persiapan awal termasuk tempahan kuih raya, langsir baharu dan tudung baharu, bersyukurlah.

Penulis nasihatkan tidak perlu menggembar-gemburkan di media sosial tentang persediaan kalian, bimbang ada yang terasa hati kerana kurang bernasib baik.

Iklan

Penulis sempat mengunjungi seorang ibu tunggal di Pinang Tunggal, Kedah yang menjaga seorang anak perempuan berusia 17 tahun yang terlantar sejak lapan tahun lalu.

Pada hari biasa sebelum kedatangan wabak, wanita berusia 48 tahun itu terpaksa bekerja di dua kedai makan berbeza pada siang dan malam hari semata-mata ingin menyara lima anak.

Sepanjang Ramadan kali ini, wanita itu terpaksa berkorban untuk tidak bekerja kerana ingin menguruskan anak terlantar berbuka puasa dan bersahur.

Penulis tidak berani bertanyakan tentang persiapan baju raya yang sudah tentu belum sempat difikirkan, namun lega apabila dimaklumkan beberapa sumbangan Ramadan telah tiba di rumah tersebut bagi menampung kehidupan.

Dalam keadaan wabak masih menular, kita boleh bayangkan terlalu banyak keluarga yang tidak sempat memikirkan tentang persiapan hari raya, ditambah pula dengan larangan rentas daerah dan negeri bermula 10 Mei hingga 6 Jun 2021 telah meninggalkan kesan mendalam.

Namun penulis kagum untuk berkongsi inisiatif dilakukan sesetengah pihak bagi membantu golongan memerlukan membeli persiapan raya.

Seperti yang dilakukan Butik Qasehku.com yang menawarkan baju raya terpakai dengan harga murah.

Pemiliknya, Natipah Abu berkata, kesemua pakaian di butik berkenaan dijual dengan harga bawah RM20 dengan tujuan memberi peluang semua golongan merasai baju raya dengan harga murah.

"Konsepnya mudah, semua pakaian ini disumbangkan orang ramai dan dijual semula dengan harga murah di mana keuntungan akan digunakan bagi tujuan kebajikan," jelasnya.

Penulis sendiri yang mengunjungi butik berkenaan terkejut apabila barangan berjenama dan berkualiti tinggi turut dijual dengan harga bawah paras RM20.

Berbelanja

Melihat kepada situasi semasa, penulis berpendapat, orang ramai perlu rebut peluang yang ada untuk menjadi lebih bijak dalam berbelanja barangan keperluan contohnya seperti mendapatkan baju, kasut, perabot dan barangan elektrik yang terpakai.

Sekiranya bijak memilih, barangan tersebut nampak seakan-akan masih baharu. Masakan kita hendak berbelanja dan beria-ia bersiap untuk berhari raya sedangkan jumlah pesakit disahkan positif Covid-19 semakin mencanak naik.

Dalam situasi ini, keperluan emosi juga harus dititik beratkan.

Boleh saja gunakan baju sedia ada dan persiapan ala kadar, itu yang terbaik. Jangan sampai bebanan yang ditanggung seperti masalah kewangan, kesihatan diri serta persekitaran menguasai diri kita sehingga kesihatan mental terganggu.

Sebagai umat Islam, kita harus percaya semua yang berlaku adalah ketentuan ALLAH, malah pasti ada hikmah yang lebih besar menunggu hamba-Nya yang sabar dengan ujian.

Sebaiknya, memohon keampunan dan bersujudlah padaNya agar segala hajat dimakbulkan.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Utara