SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bimbang dengan keadaan rakan baiknya yang mengalami masalah penglihatan, Mohd Amirul Ridzuan Aripin, 23, nekad membawa pulang Mohd Sufri Syahrifuddin, 23, ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dua rakan baik itu merupakan penuntut tahun tiga jurusan Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Mereka berdua antara kumpulan pertama yang dihantar pulang ke kampung menggunakan bas universiti pada Sabtu.
Menurut Mohd Amirul, hatinya tidak tenang memikirkan keadaan Mohd Sufri yang berasal dari Kunak, Sabah sukar menguruskan diri jika tinggal sendirian di asrama.
"Mohd Sufri pernah beberapa kali terjatuh ketika sedang berjalan berseorangan di kampus sehingga mengalami kecederaan serius.
"Sejak dari awal minggu orientasi lagi saya membantunya. Keadaan menjadi lebih mudah kerana kami satu kuliah dan rakan sebilik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah Amirul, dia sedih jika rakannya menyambut Aidilfitri seorang diri kerana mereka rakan baik rapat.
"Saya juga bimbang dengan keselamatan dan makan minum Mohd Sufri kerana saya banyak membantu menguruskannya
"Ibu bapa saya juga sudah menganggap Mohd Sufri seperti anak sendiri dan meminta saya membawa pulang dua bersama untuk berhari raya di kampung kami,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Sufri menghargai rakannya itu serta keluarga kerana mengambil berat keselamatan dirinya.
"Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama mereka seperti saya berada bersama keluarga sendiri. Ibu bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan berpesan supaya menjaga kesihatan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali Sarawak.
Pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.
Pengurusan IPT turut menyediakan kenderaan khas bagi proses penghantaran pulang dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan.