Bank Islam serah 11 unit rumah kepada asnaf

Iklan
Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima terpilih pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Baiti Jannati yang berlangsung di Dewan PPR Beringin, Kuala Lumpur Khamis lalu.

SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melalui tanggungjawab sosial korporatnya, Amal Bank Islam, menyerahkan 11 unit rumah kepada asnaf terpilih di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, program tersebut melibatkan peruntukan dana Amal dan zakat berjumlah lebih RM600,000 untuk membeli rumah yang sedang disewa oleh 11 keluarga asnaf berkenaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai sebuah institusi perbankan patuh syariah, Bank Islam peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat serta kesempitan yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi mencabar hari ini.

"Pelbagai inisiatif telah diadakan bagi menangani dan membantu golongan yang layak, termasuk penyediaan kediaman yang selesa.

Iklan

"Program Bantuan Rumah Bank Islam bermula pada tahun 2008 untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk golongan yang paling terkesan dan layak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ia dimulakan di negeri Kelantan dan diikuti Terengganu, program ini kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara, setakat ini, ia telah memanfaatkan lebih 300 asnaf dengan melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM9 juta.

Iklan

"Pada tahun ini, program Bantuan Rumah Bank Islam diteruskan melalui kerjasama dengan Program Baiti Jannati kelolaan DBKL bagi memberikan pemilikan rumah kepada asnaf miskin bandar yang menetap di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.

"Bank Islam turut memperelokkan fizikal rumah dan membekalkan perabot tambahan dan peralatan elektrik supaya tempat tinggal mereka lebih sempurna dan selesa,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, Amal Bank Islam turut menyumbang baucar berbuka puasa, hamper hari raya dan wang tunai kepada penerima.

Beliau berkata, mereka tergolong daripada golongan miskin bandar yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih, Portal Pembasmian Kemiskinan yang diwujudkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata, pada bulan Julai tahun lalu, Bank Islam telah menjadi perintis skim pembiayaan pemilikan rumah untuk golongan asnaf yang dikenali sebagai kemudahan Pembiayaan Peribadi-i Asnaf melalui usaha sama Agensi Mengurus Zakat Negeri, yang mana kedua-dua pihak masing-masing membiayai separuh pembiayaan kediaman terlibat.

"Menerusi skim tersebut, asnaf yang berpendapatan tetap tetapi di bawah RM1,500 sebulan, boleh memiliki kediaman sendiri sama ada di atas tanah sendiri atau selepas diizinkan pemilik tanah.

"Menerusi kolaboratif dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), projek rintis dilancarkan dengan dua buah rumah telah diserahkan kepada penerima yang layak pada bulan Februari lalu.

"Kami menyasarkan untuk menyerahkan sebanyak 30 unit rumah di bawah skim pembiayaan ini pada tahun ini dan terus berusaha untuk memperluaskannya di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, Bank Islam terus komited untuk membantu pelanggan dan komuniti dalam mendepani tempoh semasa yang mencabar, khasnya susulan peningkatan kadar jangkitan Covid-19 di seluruh negara.