KOTA BHARU - Pos Malaysia Kelantan telah mengendalikan lebih 4,000 keping kad ucapan hari raya yang diterima sejak awal Ramadan hingga 4 Mei lalu.
Pengurus Besar Pos Malaysia Kelantan, Osman Shah Mastor berkata, biarpun tradisi memberi kad ucapan hari raya mungkin sudah tidak menjadi pilihan utama masyarakat sejak ledakan teknologi maklumat, ini tidak bermakna pihaknya tidak lagi menjalankan tugas sebagai penghubung komuniti, terutama ketika musim perayaan.
Beliau berkata, seramai 38 petugas bahagian operasi Pos Malaysia Kelantan mengendalikan pemprosesan kad ucapan hari raya yang tiba dari seluruh negara, manakala petugas operasi di Pusat Pemprosesan Mel bertugas dari jam 8:30 pagi hingga 6:30 petang bagi memastikan semua kad ucapan diproses dan dihantar kepada penerima.
"Bagi bahagian operasi di Pos Malaysia Kelantan, kami mendapati jumlah kad ucapan yang diproses terutamanya pada musim perayaan pada masa sekarang telah berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
"Pada tahun ini, setakat 4 Mei, bahagian operasi kami telah memproses lebih 4,000 kad ucapan hari raya,” katanya.
Osman berkata, jumlah kad ucapan hari raya yang tertinggi pernah diprosesnya ialah sebanyak 59,000 keping pada 2015.
"Setiap surat termasuk kad ucapan yang diterima di Pusat Pemprosesan Mel perlu melalui proses-proses tertentu sebelum diserahkan kepada penerima.
"Setibanya karung-karung surat di sini, pasukan operasi akan bermula dengan pembukaan karung. Setelah itu, surat-surat di dalam karung akan melalui proses susun hadap iaitu proses yang mana surat-surat disusun supaya setem di atas sampul surat itu mengadap mesin matikan setem.
Menurutnya, selesai dengan proses susun hadap, surat-surat tersebut akan disisih mengikut poskod dan seterusnya diasingkan lagi mengikut kawasan penghantaran sebelum dikumpul untuk dihantar ke cawangan-cawangan serahan.
Beliau berkata, bagi menyemarakkan lagi suasana hari lebaran, Pos Malaysia juga telah melancarkan kad ucapan hari raya yang sudah mula dijual di 13 pejabat pos besar seluruh negara dan juga dalam talian di pos.com.my/shop.
"Kad ucapan yang bercorakkan suasana hari raya diharap dapat mengembalikan nostalgia di Aidifitri,” katanya. - Bernama