PENGENDALI Juventus, Andrea Pirlo tidak akan melepaskan jawatannya walaupun pasukan kedaliannya itu dikejutkan dengan kekalahan 3-0 kepada AC Milan dalam aksi Serie A di Stadium Juventus pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, dia akan terus melakukan kerjanya di kelab itu selagi diperlukan oleh pengurusan pasukan dan tidak akan melayan desakan pihak yang mahu dia berundur.
"Letak jawatan? Tidak. Saya tidak akan berundur. Saya mengambil jawatan ini dengan tanggungjawab besar walaupun sedar kesukaran yang perlu saya alami untuk mengendalikan sebuah kelab yang besar.
"Saya masih diperlukan di sini dan masih ada tiga perlawanan untuk diharungi, jadi saya akan teruskan kerja selagi diperlukan.
"Saya juga mempunyai projek yang berbeza dalam pemikiran saya, namun ada perbezaan dalam kumpulan yang saya harus latih. Saya perlu mengubah sedikit konsep untuk menyesuaikan dengan karakter pasukan," katanya.
Kekalahan memalukan kepada Milan itu hadir seminggu selepas Juventus dinafikan kejuaraan Serie A yang dimenangi Inter Milan buat kali pertama sejak sembilan musim berturut-turut.
Malah, Juventus kini berada dalam bahaya kemungkinan terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim depan apabila kini menghuni kedudukan kelima liga tiga mata dibelakang Atalanta dan Milan dengan berbaki tiga perlawanan.
"Jika sesuatu tidak berjaya dalam pasukan, saya akan mengambil tanggungajawab. Pasukan ini terdiri daripada pemain yang bagus dan sudah jelas ada sesuatu yang tidak kena.
"Menjadi tugas saya untuk membetulkan kesilapan dan memastikan pasukan ini kembali ke landasan kemenangan," katanya.