RIYADH - Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membenarkan ibadah haji pada tahun ini dengan peraturan langkah pencegahan yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan jemaah, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Agensi Berita Saudi pada Ahad.
Pihak berkuasa kesihatan negara itu masih menilai keadaan dan mengambil semua langkah untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Perincian mengenai pengurusan musim haji tahun ini akan diumumkan kemudian.
Kementerian itu juga tidak menyatakan sama ada jemaah asing akan dibenarkan melakukan ibadah haji bagi musim ini.
Tahun lalu, ibadah haji dibenarkan dengan jumlah jemaah yang terhad sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan 942 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi menjadikan keseluruhan jangkitan seramai 426,384.
Jumlah kes pulih meningkat kepada 409,740 dengan 1,064 lagi pesakit sembuh.
Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian meningkat kepada 7,072 dengan 13 korban baharu dilaporkan.