JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor berjaya merampas minuman keras bernilai RM1.39 juta dalam dua serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di negeri ini dan Selangor pada April lalu.
Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Pasir Gudang pada 26 April lalu menemukan 24,200 botol minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM401,845.
Katanya, minuman keras terbabit dibawa masuk tanpa permit yang sah dengan membuat pengikraran dagangan yang mengelirukan.
"Seterusnya serbuan pada 30 April lalu di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Johor Bahru yang dijadikan tempat penyimpanan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai.
"Hasil pemeriksaan pada kira-kira jam 1 petang menemui sebanyak 7,404 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM815,841. Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan.
"Sindiket ini menjadikan rumah yang kelihatan terbiar dan tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang-barang larangan yang tidak bercukai sebagai taktik mengaburi pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Dalam satu lagi serbuan pada 30 April lalu, JKDM Johor menyerbu sebuah gudang pembekal barang makanan di Seksyen U5, Shah Alam, Selangor yang telah dijadikan tempat penyimpanan minuman keras dipercayai tidak bercukai.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah treler dan sebuah kontena yang diletakkan di pekarangan premis tersebut telah dijadikan tempat menyembunyikan minuman keras tidak bercukai.
"Jumlah minuman keras yang dirampas sebanyak 28,320 botol dianggarkan berjumlah RM174,762. Usaha mengesan pemilik premis dan kenderaan sedang giat dilakukan.
"Sindiket dipercayai menyimpan dan menyembunyikan barang-barang larangan yang tidak berkastam di gudang pembekal makanan," katanya.
Menurut Sazali, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.