PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 136 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di seluruh negara pada minggu epidemiologi ke-18.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kes kematian itu meningkat 43.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan itu adalah dengan purata 19 kes kematian setiap hari
"Negara mengalami peningkatan kes kematian sejak minggu epidemiologi ke-12.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau kes kematian berkaitan Covid-19 selama enam minggu terakhir," katanya pada sidang akhbar mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Isnin.
Beliau berkata, sehingga 8 Mei, sebanyak 393 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan purata 355 bagi tempoh epidemiologi ke-18.
"Ia mengalami peningkatan sebanyak 15.3 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.
Dr Adham berkata, sebanyak 210 pesakit memerlukan bantuan pernafasan sehingga 8 Mei dengan purata 192 pada minggu tersebut.
"Peningkatan sebanyak 30.6 peratus berbanding minggu sebelumnya dan KKM memantau peningkatan penggunaan mesin ventilator sejak minggu ke-11," katanya.
Minggu epidemiologi ke-18 adalah 2 hingga 8 Mei manakala minggu ke-17 adalah 25 April sehingga 1 Mei.
Menurutnya, kluster Covid-19 di tempat kerja turut merekodkan peningkatan 83.3 peratus iaitu pertambahan 44 kluster, manakala pada minggu ke-17 hanya 24 kluster yang dikenalpasti.
"Jumlah keseluruhan kluster yang telah dikenalpasti sehingga minggu epidemiologi ke-18 adalah 1,775," katanya.
Beliau berkata, kluster melibatkan komuniti dan aktiviti keagamaan juga melaporkan peningkatan masing-masing 32 serta 14.3 peratus dalam tempoh tersebut.
"Terdapat 33 kluster komuniti dikesan berbanding sebelumnya iaitu 25 kluster, manakala kluster aktiviti keagamaan adalah lapan," katanya.
Bagaimanapun katanya, kluster membabitkan institusi pendidikan hanya merekodkan 19 berbanding 24 kluster minggu sebelumnya.
"Turut merekodkan penurunan adalah kluster pusat tahanan dan kluster golongan berisiko hanya hanya melaporkan satu kes pada minggu berkenaan," katanya.