KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memperincikan cadangan pewujudan sebuah Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) antara sempadan negeri ini di Sarudong Kalabakan Tawau dengan Kalimantan Utara Indonesia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pewujudan pusat itu banyak membabitkan bidang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Luar Negeri.
Pewujudan pusat itu diperlukan dalam menangani isu penyeludupan di sempadan itu khususnya membabitkan dadah.
"Mana-mana bidang kuasa di bawah Kerajaan Persekutuan, ia akan diperincikan oleh kementerian berkenaan.
"Begitu juga mana-mana bidang kuasa bawah Kerajaan Negeri kita akan perincikan. Pendekatan sama juga di pihak Wilayah Kalimantan Utara," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Sosek Malindo peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.
Sidang itu berlangsung selama dua hari berakhir hari ini dan turut dihadiri Gabenor Kalimantan Utara Dr H. Irianto Lambrie.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Hanafiah Mohd Kassim menyampaikan usul dibincangkan dalam sidang itu antaranya pembukaan ICQS di Serudong sebagai pintu masuk di sempadan dengan Kalimantan Utara.
Menurut Hanafiah, Unit Perancang Ekonomi Sabah (UPEN) akan menjadi penyelaras untuk menyediakan cadangan pembangunan di kawasan Serudong secara menyeluruh.
Usul pewujudan ICQS itu akan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk untuk mendapatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Sementara itu, Irianto berkata pihaknya melihat penubuhan ICQS itu yang penting untuk membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan khususnya kegiatan penyeludupan antara Sabah dan Kalimantan Utara.
Terdapat banyak jalan tikus digunakan penyeludup di sempadan dalam kawasan Kalimantan Utara terutama di Simanggaris. Sebab itu penting isu penyeludupan dibincangkan pada Sidang Sosek Malindo ini. - Bernama