SHAH ALAM - Pemandu trak tunda yang tular baru-baru ini kerana didakwa menghalang laluan van ambulans tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian tersebut.
Pemandu trak tunda tersebut, Saiful Safuan Mohmad Saberi berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menghalang atau melambatkan perjalanan ambulans tersebut dalam kejadian yang berlaku pada 5 Mei lalu itu.
Menurutnya, rakaman yang berdurasi selama 11 saat itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang kejadian yang berlaku di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu.
"Bukan saya tidak mahu beri laluan. Tetapi pada waktu itu lori (trak tunda) saya sedang hendak menukar laluan dari lorong ketiga (paling kanan) ke lorong kedua dan ketika itulah ambulans datang dari arah belakang.
"Kenderaan lain semua boleh ketepi, tetapi saya terperangkap sebab lori muat-muat dekat tengah jalan. Pertama, kalau saya nak ke tepi terus pun takut kena kenderaan yang lain.
"Kedua, saiz lori saya panjang. Dengan keadaan jalan jalan sesak ketika itu, kalau saya ke tepi dengan dengan ruang yang tidak mencukupi, ia berkemungkinan akan menyebabkan bahagian belakang lori menghalang ambulans tersebut untuk terus jalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Disebabkan itu, Saiful berkata, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk terus bergerak di hadapan ambulans tersebut bagi mencari ruang yang mencukupi di hadapan untuk ke tepi dan mengelakkan ambulans tersebut daripada tersangkut di tengah kesesakan jalan.
Jelas beliau, situasi tersebut juga hanya berlaku dalam tempoh 10 ke 20 saat kerana beliau terus memberikan laluan sebaik sahaja menjumpai ruang yang mencukupi untuk lorinya memberikan laluan kepada ambulans tersebut yang dipercayai daripada hospital swasta.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan sebuah trak tunda yang didakwa sengaja melambatkan perjalanan dengan memandu di hadapan van ambulans yang ingin bergegas melepasi trafik.
Susulan daripada video tersebut, Saiful yang telah menjalankan perkhidmatan tersebut selama empat tahun itu mendakwa, dia dan keluarganya menerima ancaman dan ugutan daripada pihak yang tidak dikenali.
Pada masa sama, Saiful turut memaklumkan bahawa dia masih belum menerima sebarang saman daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Sekiranya saya salah, saya bersedia untuk menerima saman daripada JPJ. Tetapi sampai sekarang saya belum menerima apa-apa saman daripada JPJ,” ujarnya.