KLANG - Rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura telah dimulakan sejak sebulan lepas, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, rundingan berkenaan dilakukan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dengan peguam negara republik berkenaan dan beberapa pertemuan lagi akan diadakan berhubung perkara tersebut.
"Perbincangan tentang perjanjian air telah bermula. Kita ada lapan perkara yang sedang dirunding dengan Singapura dan perjanjian air adalah satu daripadanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga air jual kepada Singapura tak munasabah
"Ini (kejayaan memulakan rundingan) kita anggap penting kerana sebelum ini, kita tidak dapat duduk semeja tentang isu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rohingya Education Centre (REC) Klang, di sini hari ini.
Ditanya mengenai respons kerajaan Singapura berhubung rundingan itu, Saifuddin berkata, setakat ini, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang rumusan namun menyifatkan usaha memulakan perbincangan tersebut sebagai satu langkah ke hadapan.
Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Saifuddin akan mengetuai kumpulan pegawai Malaysia dalam semakan semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura.
Tanpa mendedahkan butiran terperinci bila rundingan berkenaan akan dilakukan, Dr Mahathir berkata, kumpulan pegawai yang berunding itu ‘sedang mengusahakannya’ dan ia turut dianggotai pegawai berkaitan dari Johor.
Isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir mengkritik harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai ‘tidak masuk akal’ dan berkata beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian itu.
Perjanjian air itu yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.
Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Johor memperoleh bekalan harian air terawat sehingga dua peratus atau lima mgd air yang dibekalkan kepada republik itu. - Bernama