KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia menggantung sementara Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura di peringkat Malaysia bermula 13 Mei, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Justeru beliau berkata, pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan, perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).
Iklan
Iklan
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan penyenaraian Singapura sebagai sebuah daripada negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARSCoV-2 dalam komuniti, oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, iaitu laporan kes berkenaan melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) termasuk Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1,” katanya dalam kenyataan media situasi semasa Covid-19 di Malaysia pada Isnin.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, semua pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA), perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan, mulai 13 Mei.
Pengembara dari Singapura juga, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pengembara dari negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa mengemaskini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti, dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. - Bernama