PSJ pula keluar PSM

Iklan

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus menerima tamparan hebat apabila Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan badan induk sepak takraw negara itu.

Presiden PSJ, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, selain menarik diri beliau juga meletakkan jawatan Naib Presiden PSM yang sudah dipegangnya sejak tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini dibuat selepas kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PSM dengan konfrontasi di antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF). Ia sekali gus akan memberikan imej yang tidak baik bagi pembangunan sepak takraw Malaysia.

"Pemangku presiden juga tidak mengambil peduli tentang hal-hal PSM dengan mengambil kira pandangan ahli majlis tertinggi bagi menjawab tuduhan dari ASTAF.

Iklan

"Persatuan telah hilang kepercayaan terhadap PSM yang bakal digantung sementara menunggu jawapan atau rayuan kepada ASTAF. Oleh sebab itu, PSJ keluar daripada menjadi ahli gabungan PSM," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menjadi persatuan pertama mengumumkan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM.

Iklan

Kemelut yang melanda PSM berlaku apabila ASTAF menjatuhkan hukuman kepada Datuk Seri Ahmad Ismail selepas satu Sidang Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAFDP) secara maya yang dihadiri wakil dari tujuh negara seperti India, Iran, Jepun dan Pakistan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat digantung 15 tahun

Gastak keluar PSM

Malah, ASTAF turut memerintahkan Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat membayar kepada ASTAF AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan panel tatatertib berkenaan dan jika gagal hukuman gantung tersebut akan ditambah dua tahun lagi.

Ahmad didapati bersalah dalam empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang ASTAF iaitu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres ASTAF pada 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut menegaskan penarikan diri PSJ atas persetujuan semua pegawai dan exco persatuan tersebut.

"Keutamaan kami di PSJ adalah ingin melihat pembangunan sepak takraw berjaya di negara kita," katanya.