Adam bangga jejak podium sekali lagi

Iklan
Adam menduduki tempat ketiga dalam Pusingan Kedua Kejuaraan CEV Moto2 Eropah Litar Ricardo Tormo, Valencia pada Ahad.

PELUMBA muda negara, Adam Norrodin menikmati satu lagi detik istimewa dalam kariernya apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam Pusingan Kedua Kejuaraan CEV Moto2 Eropah Litar Ricardo Tormo, Valencia pada Ahad.

Sekalipun mengulangi kejayaan sama dalam satu daripada dua saingan pembuka musim di Estoril, Portugal dua minggu lalu, pelumba Liqui Moly Intact SIC Junior berusia 22 tahun itu berkata, banyak peningkatan yang dicatatkannya dalam perlumbaan kali ini.

Iklan
Iklan

"Pertamanya, saya berterima kasih kepada pasukan saya atas kerja keras mereka minggu ini serta kepada keluarga saya yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan saya. Saya amat bersyukur atas keputusan ini dan sudah tentu banyak lagi yang harus dibaiki untuk perlumbaan akan datang.

"Kami akan kekalkan ketetapan minda yang positif ini serta terus menambah baik prestasi kami pada perlumbaan yang mendatang. Saya benar-benar gembira bekerja dengan pasukan ini dan kami akan terus bekerja keras hingga tamat musim.

Iklan

"Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu saya dan kepada semua rakyat Malaysia, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terkenal dengan gelaran Torete, Adam menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14 minit dan 43.890 saat sementara dua pelumba Sepanyol - Fermin Aldeguer (14:38.816s) dan Alonso Lopez (14:42.568s), kedua-duanya peluma Boscoscuro Talent Team-Ciatti, menduduki dua tempat teratas.

Iklan

Kejayaan menaiki podium dua kali berturut-turut juga membantu Adam menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 45 mata, menyusuli Fermin (75 mata) dan Alonso (60 mata) menjelang Pusingan Ketiga di Circuit de Barcelona-Catalunya pada 13 Jun ini.

Sementara itu, pencapaian seorang lagi pelumba mudaMalaysia, Muhammad Sharul Ezwan Sharil yang berlumba dalam kategori European Talent Cup, kurang memberangsangkan apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20 dan ke-16 (Perlumbaan 2).

Dalam kategori Moto3, Mohd Azman Syarifuddin terpaksa berpuas hati di tempat ke-12 dan 19 - masing-masing dalam Perlumbaan 1 dan 2.