BENTONG - Seorang murid lelaki trauma selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di daerah ini pada Khamis lalu.
Kejadian itu hanya disedari ibunya selepas mangsa yang berusia 10 tahun pulang dari asrama sekolah terbabit pada Jumaat lalu.
Ibu mangsa, Nurul Azila Waty Abu Khalid, 33, berkata, pada mulanya anaknya memberikan alasan jatuh katil selepas suaminya, Hasmira Khairi Karim, 39, ternampak tanda lebam pada pipi dan benjolan di dahi pada anak sulung daripada empat beradik itu.
Menurutnya, selepas didesak dan dipujuk beberapa kali, akhirnya anaknya mengaku telah dipukul oleh tiga pelajar lain pada Khamis lalu.
"Selepas mengetahui insiden yang menimpa anak saya, kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Jumaat.
"Selain itu kami turut memaklumkan pihak sekolah dan mulanya warden ingatkan ada alahan, namun anak saya tidak ada sebarang alahan," katanya.
Jelasnya, situasi tersebut membuatkan anaknya kini menjadi lebih pendiam serta takut memandangkan ia tahun pertama di sekolah itu selain merayu tidak mahu lagi tinggal di asrama.
"Alasan anak saya dipukul hanya sebab pernah mengatakan salah seorang pelaku terbabit seorang yang kejam kerana anak mendakwa pernah lihat pelaku tersebut memukul pelajar lain hingga berdarah," dakwanya.
Menceritakan kejadian pada hari tersebut, anaknya mendakwa ditarik bibir, dihantuk ke dinding serta dipukul di bahagian muka hingga terjatuh lalu dipijak.
Katanya, akibat kejadian itu anaknya trauma sehinggakan dia merayu kepadanya dan suami agar merahsiakan perkara itu kerana bimbang akan dipukul lagi pada masa akan datang.
"Selain itu, anak saya mendakwa sebelum ini turut pernah dikurung hampir sejam dalam almari besi yang sempit di asrama sekolah berkenaan oleh murid yang sama.
"Kami terkilan kerana hingga kini tiada permohonan maaf oleh pelaku dan kesal dengan salah seorang penjaga murid yang memarahi kami kerana mencampuri urusan anak-anak," katanya memaklumkan pihak sekolah ada memohon maaf berhubung insiden tersebut.
Menurutnya, laporan perubatan mengesahkan ia kesan akibat dipukul.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.