JAGUH olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menjanjikan kejutan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan bermula 24 Ogos depan.
Selaku penyandang juara acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran), Ziyad yakin sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di pentas sukan terbesar dunia itu dengan menuruti semua nasihatnya jurulatihnya, Mohamad Faizol Harun.
Iklan
Iklan
Ziyad berkata, prestasinya berada pada tahap baik buat masa sekarang selain bebas daripada sebarang kecederaan yang boleh menghalangnya daripada pulang dengan kilauan emas dari Tokyo.
"Sekarang saya sudah bersedia untuk mencapai sasaran dan memecahkan rekod saya sendiri, itu yang saya nak cuba. Sebab itu sekarang saya berlatih bersungguh-sungguh dan mungkin hasilnya nanti kita tunggu lah, saya buat satu kejutan,” katanya.
Dalam pada itu, Ziyad berharap untuk menyertai sekurang-kurangnya dua atau tiga pertandingan sebagai pemanas badan sebelum ke Tokyo berikutan ketiadaan kejohanan antarabangsa disebabkan kekangan masa dan situasi semasa pandemik Covid-19.
"Minimum dua atau tiga pertandingan, seelok-eloknya untuk mendapatkan keyakinan diri dan semangat yang berkobar-kobar untuk berlawan,” ujar bekas juara dunia berusia 31 tahun itu.
Baru-baru ini, Ziyad mengakui berasa lebih yakin untuk beraksi di luar negara selepas lengkap menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech. - Bernama