ADNAN, seorang penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur berikrar bahawa tembakan-tembakan peluru getah daripada polis Israel tidak akan menghalangnya mempertahankan kota itu daripada dirampas oleh para peneroka Yahudi
Pemuda yang berusia 20 tahun itu seperti kebanyakan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur enggan memberikan nama penuh kepada AFP kerana bimbang hukuman yang akan diterimanya daripada polis rejim Zionis.
Tunjuk perasaan yang diadakan di Baitulmaqdis Timur itu diadakan sebagai tindak balas terhadap usaha yang tidak henti-henti oleh peneroka haram Yahudi untuk mengusir penduduk Palestin dari kota tersebut.
"Kami berada di sini di jalanan, ingin menyatakan bahawa kami tidak akan tinggalkan (Baitulmaqdis Timur).
"Sejak bertahun-tahun, para peneroka itu telah menyerang kami dan mengambil tanah kami tetapi (kami) mendiamkan sahaja (perbuatan peneroka haram Yahudi) dan ia bukan lagi menjadi pilihan (kami)," katanya kepada AFP.
Setakat Ahad lalu, ratusan penduduk Palestin cedera dan puluhan lagi ditangkap ketika berkonfrontasi dengan polis Israel.
Anggota-anggota polis Israel turut terkena balingan batu dan objek lain yang dilemparkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan pemuda Palestin.
Pada malam Jumaat lalu, pertempuran ganas antara polis Yahudi yang melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan gegaran ke arah penduduk Plaestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin cedera.
Menurut portal berita, Anadolu Agency, anggota polis turut menggunakan bom tangan gegaran dan bom gas untuk menyuraikan umat Islam yang berada di dalam Majis Al-Aqsa pada malam Jumaat itu.
Tunjuk perasaan itu diadakan selepas sebuah mahkamah Israel di Baitulmaqdis pada awal tahun ini mengeluarkan keputusan untuk mengusir tujuh keluarga penduduk Palestin dari rumah masing-masing di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur bagi membolehkan para peneroka haram Yahudi tinggal di kediaman mereka.
Mahkamah itu berkata, peneroka-peneroka haram Yahudi itu telah membuktikan dakwaan bahawa tanah yang menjadi tempat tinggal penduduk Palestin itu sebagai hak milik mereka.
Keputusan itu membangkitkan kemarahan penduduk Palestin sehingga mencetuskan tunjuk perasaan sejak beberapa bulan lalu sebelum ia memuncak sejak kebelakangkan ini.
Kerajaan Jordan yang merupakan pemilik Baitulmaqdis Timur sebelum ia dirampas oleh Israel dalam Perang Enam Hari itu turut menyediakan dokumen-dokumen bagi membuktikan rumah-rumah tersebut memang diperoleh oleh penduduk Palestin daripada pihak berkuasa Jordan.
Dalam pada itu, menurut laporan radio tempatan, lebih 90,000 umat Islam berkumpul di kawasan al-Haram al- Sharif di masjid tersebut untuk bersolat pada minggu terakhir bulan Ramadan yang akan berakhir dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.
Pasukan perkhidmatan kecemasan Palestin turut berkata pada awal Sabtu lalu bahawa sekurang-kurangnya 88 orang dirawat di hospital ekoran pertempuran tersebut.
Pertempuran turut berlaku pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin di Baitulmaqdis Timur yang didakwa akan menjadi ibu negara Palestin pada masa depan.
Isnin merupakan Hari Baitulmuqdis yang disambut oleh Israel bagi meraikan kawalan pentadbirannya ke atas Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967 yang dimenangi oleh rejim Zionis itu.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Mohammed yang enggan memberikan nama penuh berkata kepada AFP, dia merupakan antara ribuan umat Islam di Masjid Al-Aqsa yang berbuka puasa, memakan buah kurma dengan air minuman apabila polis Israel mula menyerang mereka.
"Israel mahu kami bekerja dengan mereka tetapi tidak mahu kami tinggal di sini (Baitulmaqdis Timur)," katanya kepada AFP.
Pada bulan lalu, polis Israel menutup sebuah plaza di luar Pintu Damsyik di Baitulmaqdis yang secara tradisinya merupakan tempat perkumpulan penduduk Palestin selepas solat malam pada bulan Ramadan sehingga mencetuskan pertempuran antara kedua-dua pihak.
Selepas beberapa malam berlaku kekacauan di lokasi itu, anggota polis kemudian memindahkan penghadang-penghadang yang menutup kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Israel, Itamar Ben-Gvir dilaporkan pernah melawat kawasan penduduk Sheikh Jarrah untuk mengisytiharkan rumah-rumah di situ milik peneroka haram Yahudi dan meminta polis melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan Palestin.
Wartawan AFP juga pernah melihat para peneroka Yahudi di Sheikh Jarrah bersenjatakan senjata api seperti pistol dan raifal.
Berikutan tunjuk perasaan itu dan tindakan ganas yang dilakukan oleh polis rejim Zionis, Mahkamah Agung Israel pada Ahad lalu menyatakan kes rayuan keluarga-keluarga Palestin yang diarahkan oleh sebuah mahkamah daerah di Baitulmaqdis pada awal tahun ini supaya keluar dari rumah masing-masing ditangguhkan.
Menurut CNN, kes itu sepatutnya didengar pada hari Isnin tetapi ditangguhkan dalam tempoh 30 hari atas permintaan Peguam Negara Israel. - Agensi