Dodol upih dicari menjelang Syawal

Iklan
Wagiman (kiri) dan Izham menunjukkan dodol upih yang dibuat oleh keluarganya sejak 20 tahun lalu.

PONTIAN - Dodol merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi pengusaha dodol upih di Kampung Parit Puasa, Wagiman Yamin, 64, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan dodol upih setiap kali menjelang Syawal.

Iklan
Iklan

Wagiman berkata, bilangan pengusaha dodol yang masih menggunakan upih semakin berkurangan sebaliknya ramai dilihat memilih kaedah pembungkusan dalam plastik kerana lebih mudah.

Bapa kepada lima anak itu mula menjual dodol lebih 20 tahun lalu dengan menerima tempahan dari orang kampung secara kecil-kecilan.

Iklan

Dia turut meminta bantuan daripada anaknya Izham, 31, dan empat orang penduduk kampung membantunya mengacau dodol di dalam kawah.

Bercerita tentang resipi dodol, Wagiman memberitahu, bahan digunakan sama sahaja seperti tepung pulut, santan dan gula melaka.

Iklan

Katanya, bagi memastikan keaslian dodol, dia banyak menggunakan gula melaka asli dan tepung pulut yang dikisar daripada beras pulut.

"Saya masih menggunakan cara tradisional bagi mengekalkan rasa dodol. Selain itu saya hanya menggunakan gula melaka dari Sumatera Barat Indonesia yang boleh didapati di Pekan Benut.

"Sebanyak 20 kilogram gula melaka digunakan bagi sekawah dodol. Rasa gula melaka ini lebih enak dan beraroma," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Isnin.

Wagiman (kiri) mengacau dodol di rumahnya di Kampung Parit Puasa, Pontian pada Isnin.

Wagiman memberitahu, proses mengacau dodol di dalam kawah di atas dapur kayu memakan masa lapan jam.

"Selepas siap masak, dodol perlu dipindahkan ke dalam dulang untuk disejukkan sebelum dibungkus.

"Daun upih perlu disediakan terlebih dahulu, iaitu dibasuh, dikeringkan dan dipotong. Bekalan daun upih diambil dari Muar kerana di sana masih banyak pokok pinang," katanya.

Daun upih yang digunakan membuatkan dodol lebih beraroma dan tahan lama untuk disimpan.

Sementara itu, Izham bersyukur kerana dodol upih air tangan ayahnya itu sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai termasuk dari negeri lain.

Katanya, menjelang Aidilfitri sebanyak 330 bungkus dodol upih seberat 400 gram mampu dihasilkan.

"Tempahan memang tinggi, ramai yang hendak rasa dodol upih sebab susah cari sekarang.

"Saya bersama adik-beradik lain akan sentiasa membantu ayah menghasilkan dodol upih terutama ketika menjelang Aidilfitri dan Aidiladha," katanya.