SHAH ALAM- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mempelbagaikan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di kawasan luar bandar di negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan penduduk.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tanaman yang menjadi tumpuan adalah buah-buahan yang dapat mengeluarkan hasil dalam jangka masa pendek, bernilai komersial dan mampu memberi pulangan yang baik.
Iklan
Iklan
"Saya akan meminta jabatan dan agensi di bawah MAFI untuk membantu melihat potensi aktiviti ekonomi berasaskan pertanian agar penduduk di kawasan luar bandar dapat merasai pulangan yang lebih cepat seterusnya meningkatkan hasil pendapatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kampung Tampat di Paitan, Beluran pada Ahad.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, sejajar dengan usaha itu, MAFI telah melaksanakan projek perintis tanaman nanas MD2 di Kampung Rungus, Beluran sebanyak 26,000 pokok.
"Ia telah dimulakan pada Januari 2020 dan telah mengeluarkan hasil pada April lepas. Kita mengharapkan agar projek perintis tanaman nanas MD2 diusahakan di Kampung Rungus akan dapat menggalakkan pengusaha lain di negeri ini untuk mencebur diri dalam penanaman nanas,” katanya.
Ronald berkata, MAFI dalam usaha mewujudkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di Sabah yang telah mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri Sabah bagi merealisasikan usaha itu.
Artikel Berkaitan