SHAH ALAM - UMNO perlu kembali bersatu jika ingin berkuasa semula, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, segala elemen kepuakan atau kecenderungan kepada tokoh mahupun kumpulan tertentu tidak akan menguatkan sesebuah parti.
Jelas beliau, jika gagal menangani masalah perpecahan tersebut, jiwa, kedudukan dan kekuatan UMNO akan surut.
"Hari ini UMNO meraikan ulang tahunnya yang ke-75. UMNO jika ingin berkuasa semula mesti kembali berpadu.
"Pada tahun 2018, UMNO menghadapi pilihanraya dengan perpaduan yang kukuh dan pada waktu itu menguasai kerajaan. Namun tewas dan kita tidak menguasai kerajaan. Parti pula tidak berada dalam kedudukan yang kukuh.
"Jika kita tidak bersatu, maka kita pasti tidak akan boleh menang dalam PRU akan datang. Memenangi hati dan keyakinan pengundi bukan kerja yang mudah. Mereka mempunyai naluri, kepentingan dan pemikiran yang sangat kompleks,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, keyakinan pengundi akan suram apabila sesebuah parti tersebut berpecah, bercakaran sesama sendiri dan tidak berpadu.
Jelasnya, perkara tersebut terbukti apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya ditumbangkan setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpecah.
"Kerana perpecahan, sebuah kerajaan yang dibentuk dengan mandat kukuh dari rakyat boleh ditumbangkan. Perpecahan dalaman itu laksana barah yang akhirnya mematikan.
"UMNO dan segala segmen didalamnya mesti kembali bertaut. Pilihanraya akan datang, kita mesti hanya ada satu pasukan, iaitu pasukan UMNO. Bukan pasukan mewakili segala kluster.
"Memikirkan nasib UMNO, saya sangat risau. Ramai yang terlalu memikirkan diri sendiri dan bukan parti, apatah lagi bangsa Melayu, Islam dan Malaysia,” ujarnya.
Beliau menasihatkan kepada kepimpinan tertinggi sehingga pendukung di lapangan agar sentiasa berpadu demi UMNO yang diperjuangkan.
Katanya, sikap berlapang dada dan bertolak ansur serta bersatu perlu diterapkan dalam memimpin perjalanan parti tersebut.
"Akhirnya cita-cita kita adalah untuk UMNO itu kembali mengemudi tanah air ini demi sumpah kita untuk perjuangan agama, bangsa dan negara. Selamat Ulangtahun ke-75 UMNO,” katanya.