TELUK INTAN - Ketika orang ramai sedang sibuk membuat persiapan meraikan Aidilfitri, lima keluarga di Kampung Padang Tembak di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran pada malam Isnin.
Seorang mangsa, Bahudin Kulop Wahab, 70, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Salamiah Dahari, 56, sedang berehat di rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari rumah sebelah.
Menurutnya, ketika keluar untuk melihat bunyi letupan itu, dia lihat sebahagian rumahnya sudah disambar api manakala rumah bersebelahan juga terbakar.
"Saya dan isteri terus keluar larikan diri. Saya cuba simbah dengan air tapi api terlalu marak. Saya sempat selamatkan motosikal tapi yang lain tak sempat nak ambil apa-apa. Masa keluar pun saya cuma pakai kain pelikat sahaja.
"Memang dugaan berat sebab lagi dua hari lagi nak raya. Kuih raya anak-anak bagi pun habis semua hangus. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana kami selamat, alhamdulillah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di lokasi kejadian di sini pada Selasa.
Bahudin berkata, semua pakaian dan persiapan hari raya juga musnah dalam kejadian itu termasuklah barang kemas isterinya.
Dalam pada itu, Bahudin mengakui kejadian itu sangat menyedihkan kerana rumah itu telah diduduki sejak tahun 1985 bersama tujuh anak perempuannya ketika mereka masih kecil.
Tambahnya, buat sementara waktu mereka berdua menumpang tinggal di rumah salah seorang anaknya di Taman Pelangi sementara menunggu rumah untuk dibaik pulih.
"Anggaran kerugian dan punca kejadian tidak dapat dipastikan tetapi berkemungkinan disebabkan litar pintas," katanya.
Seorang lagi mangsa, Sufariz Sulaiman, 37, berkata, dia terdengar bunyi letupan berkenaan, namun menyangka orang bermain mercun.
Menurutnya, apabila terdengar jeritan jiran memberitahu ada kebakaran, dia terus meluru keluar dan melihat rumah jiran berhampiran sudah terbakar.
"Bila dengar ada orang jerit ada api saya terus keluar rumah. Saya cuba nak bantu padamkan kebakaran itu tapi api terlalu marak.
"Apa pun saya reda sebab rumah saya cuma bahagian belakang sahaja yang terbakar tetapi kesian rumah-rumah jiran lain," katanya yang tinggal seorang di rumah berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang berusaha membantu mendapatkan tempat tinggal sementara kepada mangsa terlibat.
Menurutnya, ketika kejadian seramai 13 mangsa daripada empat keluarga berada di dalam rumah, manakala seorang lagi pemilik rumah tidak berada di situ kerana sedang menjalani rawatan di Selangor.
"Setakat ini, dua keluarga akan ditempatkan sementara di Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di sini, manakala yang lain kita sedang usahakan penempatan sementara untuk mereka.
"Dari segi bantuan lain seperti keperluan makanan kita telah berikan kepada mangsa dan saya juga akan cadangkan agar tapak rumah sedia ada diberikan lot kepada mangsa ini kerana tanah tersebut milik kerajaan," katanya.
Mohd Azhar juga turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan rumah transit di setiap daerah bagi memudahkan mangsa-mangsa tragedi seperti kebakaran ditempatkan sementara mencari rumah baharu.
Katanya, perkara itu harus dipertimbangkan kerana sukar untuk mencari tempat kediaman sementara kepada mangsa bencana selain menempatkan mereka di dalam dewan orang ramai.