SHAH ALAM - Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini merupakan jalan terbaik dengan situasi terkini pandemik Covid-19 di negara ini.
Penceramah bebas, Asma Harun berkata, buat masa ini, keselamatan nyawa merupakan perkara yang lebih utama berbanding sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Ramai yang telah beli baju, biskut dan pelbagai persiapan telah dibuat. Membayangkan suasana saling ziarah yang berdekatan, bolehlah mengubat sedikit rindu pada ibu ayah di kampung halaman.
"Namun, ini yang terbaik untuk kita semua. Keselamatan nyawa jauh lebih utama, kena akur bahawa kita tiada pilihan melainkan PKP secara menyeluruh. Barisan hadapan tidak pernah rehat walau mereka tenat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada 10 Mei, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, kerajaan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara susulan kes harian positif Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memutuskan 11 pelaksanaan PKP bagi menggalakkan orang ramai duduk di rumah.
Dalam pada itu, Asma Harun menjelaskan, walaupun perkara tersebut diumumkan lambat dan berbeza dengan tahun sebelumnya, rakyat perlu percaya bahawa terhadap hikmah di sebalik perkara yang berlaku.
"Tiada cara lain, terus bertahan dalam meningkatkan sabar, kuatkan rohani, mental dan emosi. Tetap teguh yakin bahawa ALLAH menguji hambaNya sentiasa dalam kadar kemampuan.
"Sebahagian rakyat jelata sekadar ingin merasa sedikit bahagia dan gembira di hari mulia. Juga ramai yang berusaha bangkit semula dengan berniaga, namun kembali jatuh lebih dalam daripada sedia ada. Saya masih percaya, pihak kerajaan buat pelbagai usaha sehabis daya,” ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan keadaan terkini, ia merupakan tempoh mentadbir yang paling mencabar dan getir dalam sejarah Malaysia serta dunia.
Jelasnya, mustahil untuk kerajaan membuat keputusan drastik seperti itu melainkan ia merupakan tindakan terbaik untuk rakyat.