SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) pada suku tahun pertama merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, aliran masuk FDI tersebut disalurkan ke sektor pembuatan, kewangan dan perdagangan borong serta runcit khususnya dari Singapura, United Kingdom (UK) dan Netherland.
Pada masa yang sama, jelasnya, Pelaburan Langsung Di Luar Negeri (DIA) turut mencatat aliran keluar yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM7.8 bilion berbanding RM5.2 bilion pada suku akhir tahun lalu.
"Kewangan, perlombongan dan pembuatan adalah sektor utama untuk DIA manakala destinasi utama adalah Kanada, Indonesia dan Singapura. Pada akhir suku pertama 2021, kedudukan FDI mencatat RM713.4 bilion sementara kedudukan DIA adalah RM539.8 bilion.
"Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan kedudukan aset bersih RM106.4 bilion berbanding RM67.5 bilion pada suku lepas. Rizab antarabangsa berjumlah RM450.8 bilion berbanding RM432.3 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) telah merekodkan lebihan RM12.3 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM18.6 bilion pada suku sebelumnya.
Katanya, prestasi baik dalam barangan dapat dilihat pada suku ini kerana kebanyakan negara telah mengurangkan sekatan yang berkaitan Covid-19 sekali gus memberikan ruang untuk kelancaran kegiatan ekonomi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Oleh itu, eksport barangan meningkat kepada RM225.5 bilion berbanding RM217.2 bilion pada suku keempat tahun lalu. Eksport utama adalah produk berasaskan elektrik dan elektronik, getah dan kimia terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat.
"Import barangan melonjak sebanyak RM14.3 bilion kepada RM188.9 bilion berbanding suku sebelumnya. Peningkatan dalam import barang perantaraan dan modal terutamanya dari China, Singapura dan Jepun menyebabkan peningkatan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan lebihan akaun semasa pada suku pertama juga didorong oleh defisit yang lebih rendah pada pendapatan primer.
Jelasnya, defisit bersih pendapatan primer mengecil kepada RM5.7 bilion berbanding RM7.2 bilion pada suku keempat tahun 2020.
"Begitupun, perkhidmatan mencatat defisit yang lebih tinggi sebanyak RM15.0 bilion disebabkan oleh perjalanan, pembinaan dan perkhidmatan perniagaan lain.
"Penutupan sempadan yang berterusan berikutan pandemik menyebabkan perjalanan yang merupakan kekal berada dalam tren negatif dengan mencatat defisit bersih RM3.4 bilion.
Selain itu, Mohd Uzir menjelaskan defisit perkhidmatan yang lebih tinggi disebabkan oleh perkhidmatan perniagaan lain mencatatkan defisit sebanyak RM0.8 bilion.