PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 290,480 bebuli (vail) vaksin Sinovac yang dibotolkan oleh Pharmaniaga LifeSience (PLS) akan diedarkan dan digunakan di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengedaran bekalan vaksin itu dibuat bermula pada Selasa.
"Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 200 liter diterima daripada syarikat pengeluar, Sinovac pada 27 Februari lalu," katanya pada sidang akhbar majlis penyerahan pengeluaran pertama vaksin Covid-19 di kementeriannya di sini pada Selasa.
Menurutnya, setakat 11 Mei, sebanyak 1,284,147 bebuli telah dihasilkan PLS.
"Empat kelompok pertama yang dikilangkan adalah pada 1 hingga 5 Mac lalu," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 17 ujian kawalan kualiti telah dilakukan selepas penghasilan kelompok berkenaan.
"Kami mempunyai beberapa kumpulan teknikal yang bekerja serentak demi memastikan proses kelulusan berjalan lancar," katanya.
Dr Adham berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membenarkan penyerahan dokumen secara berperingkat bagi vaksin Sinovac.
"Kebiasaannya NPRA menilai permohonan selepas semua dokumen seperti penerangan produk, tempat pengilangan, standard GMP kilang pengeluar, senarai bahan aktif dan sebagainya diserahkan," katanya.
Menurutnya, tepat sebulan vaksin dihasilkan, beberapa ujian kawalan kualiti dilakukan lagi pada April.
"Ini juga bagi mengikuti ketetapan NPRA untuk menjalankan ujian stabiliti pada bulan pertama, ketiga, keenam dan seterusnya.
"Ada juga ujian kawalan kualiti dijalankan oleh pihak ketiga seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia atau (SIRIM)," katanya.
Tambahnya, vaksin yang dikilangkan oleh Pharmaniaga itu telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) pada 23 April lalu.
"Proses penghasilan vaksin yang dibotolkan dimulakan secara komersial pada 27 April," katanya.
Ujarnya, setiap kali kelompok baharu dihasilkan, ia akan memakan masa sehingga 23 hari untuk melalui ujian makmal bagi mendapatkan kelulusan 'lot realease' sebelum dipasarkan.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLS, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya akan menerima 2,800 liter vaksin Covid-19 secara pukal daripada China.
"Ia akan menghasilkan 6 juta dos," katanya.