KOTA KINABALU - Rakyat di negeri ini perlu memahami setiap tindakan kerajaan mengadakan sekatan perjalanan adalah untuk mengekang dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 walaupun sekatan itu diadakan menjelang sambutan Aidilfitri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun tahun kedua sambutan Aidilfitri diraikan dalam keadaan norma baharu tetapi ia tidak menghalang rakyat menghayati makna serta bergembira menyambut perayaan itu.
"Aidilfitri akan terus menjadi tonggak perpaduan dan diraikan tanpa mengira bangsa serta agama. Semoga kita semua kekal selamat dan begitu juga orang di sekelilling kita,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Aidilfitri pada Selasa.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri meminta rakyat di Sabah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang sambutan hari raya bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Beliau juga turut mendoakan keselamatan anggota barisan hadapan yang tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri ini demi bertugas melindungi negara.
"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berjalan lancar dan saya meminta kerjasama daripada semua pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin itu. Kita mesti melawan pandemik ini dan menghentikannya daripada terus menjejaskan ekonomi dan kehidupan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan yang tepat untuk melaksanakan semua pelan pembangunan di negeri itu.
Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, matlamat hala tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan baru-baru ini akan dapat dicapai dalam masa lima tahun. - Bernama