Taktik ikrar dagangan sebagai permaidani tak menjadi

Iklan
Abdul Halim (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Setor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth pada Selasa.

BUTTERWORTH - Taktik dua sindiket penyeludupan rokok secara haram dengan mengikrarkan dagangan sebagai permaidani dalam 'Bill of Lading' dan Manifes Import (K4) serta Borang Kastam Import (K1) tidak berhasil selepas mereka ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sebanyak 9.65 juta batang rokok dengan nilai RM7.08 juta termasuk cukai telah dirampas dalam dua serbuan tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli berkata, empat individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam dua siri tangkapan pada 5 dan 7 Mei lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada jam 8.30 malam, 5 Mei lalu, Unit Siasatan Dalaman (USD) bersama pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang telah menahan sebuah lori yang membawa sebuah kontena di Jalan Teluk Gong.

Iklan

"Kita menahan pemandu lori selain merampas lori dan kontena untuk tindakan selanjutnya. Pemeriksaan dilakukan menjumpai 495 mastercase rokok putih berjumlah 4.95 juta batang rokok disyaki tidak berkastam bernilai RM3.6 juta termasuk cukai.

"Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran/logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang," katanya pada sidang akhbar di Setor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, di sini pada Selasa.

Iklan
Abdul Halim (depan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Abdul Halim berkata, melalui dokumen yang diperoleh, dagangan tersebut disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur.

"Kita menahan seorang pengurus operasi sebuah syarikat penghantaran yang beroperasi di Klang untuk membantu siasatan. Sementara itu, pasukan yang sama telah menahan sebuah kontena pada 7 Mei di lokasi sama.

"Pemeriksaan menemui sebanyak 470 mastercase rokok putih berjumlah 4.7 juta batang rokok yang disyaki tidak berkastam bernilai RM3.5 juta termasuk cukai," katanya.

Abdul Halim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua serbuan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Empat lelaki direman dan kita masih mengesan beberapa pihak lagi dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.