KOTA BHARU – Walaupun dalam keadaan daif, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Darul Anuar di Pulau Melaka di sini tetap beroperasi bagi memastikan pelajar tetap mendapat ilmu.
Tandas yang perlu dibaiki selain bilik darjah dan bilik guru yang tidak lengkap dengan perabot perlu diberi penambahbaikan segera bagi memastikan proses pembelajaran dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Guru Besarnya, Wan Nor Aini Wan Mahmood berkata, bangunan Pasti tersebut baru sahaja berpindah dari bangunan lama yang lebih daif.
"Sumbangan kewangan diperlukan untuk membaiki kerosakan sedia ada dan menambah baik keadaan bangunan baharu untuk keselesaan pelajar dan guru.
"Kami teruskan juga proses pembelajaran walau dalam keadaan seperti ini namun memang menyedihkan bila kita terpaksa mengehadkan sesuatu aktiviti disebabkan oleh ketidakmampuan sekolah dan juga kelengkapan yang tidak cukup,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, Pasti tersebut ditubuhkan pada 1963 oleh Allahyarham Tokku Nik Mat Alim, ayahanda kepada bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Malah katanya, Pasti itu diasaskan dua tahun selepas penubuhan Sekolah Menengah Ugama Darul Anuar, Pulau Melaka dan ia bermula dengan enam orang pelajar sahaja.
"Kini jumlah pelajar semakin bertambah ke 83 orang dengan lima orang tenaga pengajar. Kami juga perlukan sumbangan untuk menampung bajet makanan yang berkhasiat kepada para pelajar pada waktu rehat.
"Selain itu hutang dengan pembekal peralatan dan kelengkapan kelas yang telah tertunggak sekian lama pun masih belum dijelaskan. Banyak kekangan yang kami hadapi dan berharap sumbangan daripada orang ramai dapat meringankan bebanan kami dalam menghidupkan Pasti ini,” katanya.
Mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Pasti Darul Anuar (03018010174823).