Perak benar solat sunat Aidilfitri di kawasan lapang

Iklan
Kenyataan MAIPk mengenai panduan sambutan 1 Syawal di Perak yang dikeluarkan pada Selasa.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan solat sunat Aidilfitri diadakan di kawasan lapang dan terbuka dengan tidak melebihi 50 jemaah selain di masjid dan surau di Perak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, keputusan itu diperkenan selepas baginda mengambil maklum status semasa penularan wabak Covid-19 yang dipersembahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, takbir raya turut dibenar diadakan di masjid dan surau tetapi tidak dibenarkan dibuat dari rumah ke rumah.

"Masjid dan surau mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had jemaah menurut yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN dengan kehadiran terhad kepada warganegara Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

Iklan

"Sebarang bentuk jamuan di masjid, surau dan kawasan lapang terbuka selepas solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan. Turut tidak dibenarkan melakukan ziarah kubur," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Annuar berkata, baginda turut menzahirkan kebimbangan bilangan jangkitan pesakit Covid-19 yang menular dengan angka yang begitu tinggi.

Iklan

Menurutnya, disebabkan itu Sultan Nazrin membatalkan hasrat untuk berangkat bersolat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar serta membatalkan acara jamuan Aidilfitri di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

"Baginda menzahirkan ingatan agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan turut mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rangkaian jangkitan serta menunjukkan simpati kepada para petugas barisan hadapan, terutama para petugas perubatan dan kesihatan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan rakyat serta ketabahan rakyat menghadapi ujian Ilahi ini," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara susulan peningkatan kes harian Covid-19.

Berikutan itu, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan 11 pelaksanaan PKP bagi menggalakkan orang ramai duduk di rumah.

Antara yang diumumkan, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perketat PKP seluruh negara