SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disaran menggunakan koperasi sebagai platform untuk memulakan perniagaan mereka, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Menurutnya, melalui koperasi, ia dapat menyumbang pelbagai kepakaran dan juga memperoleh modal yang lebih besar.
"Kita harap rakyat Malaysia gunakan peluang ini terutama mereka yang baru nak mula perniagaan.
"Ini hasrat kita kerana kita tahu dalam konteks koperasi ini, kita kerja secara berjemaah. Sekarang koperasi dianggotai sekurang-kurangnya 20 ahli.
"Jadi ini akan dapat menyumbang pelbagai kepakaran dan modal yang besar berbanding bergerak secara sendirian,” katanya selepas penyerahan pek makanan di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa turut mencadangkan agar koperasi dapat mempelbagaikan aktiviti perniagaan bagi memastikan pendapatan dapat dijana dengan baik dan lancar.
Selain itu, beliau berkata, Angkasa akan memastikan produk Malaysia berjaya menerusi pasaran global terutama negara ASEAN.
"Kita akan tingkatkan kerjasama ataupun jaringan antara koperasi yang ada dalam ASEAN supaya produk kita boleh dipasarkan kepada negara mereka. Ini antara strategi yang sedang dilaksanakan,” katanya.